ALOR SETAR - Kemakmuran ekonomi di Jitra, Kedah kini dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat selepas pelbagai perubahan dan pembangunan dilaksana oleh kerajaan negeri.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negerinya, Datuk Aminuddin Omar, pelbagai pembangunan dan perubahan berlaku dekat kawasan dalam daerah Kubang Pasu itu seperti kewujudan banyak taman-taman perumahan membawa kemudahan yang lebih baik.
“Lebih 130 taman perumahan hari ini, wujud dan akan bertambah lebih banyak pada masa akan datang di Jitra yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.
“Selain itu bukti kemakmuran ekonomi juga dapat dilihat dengan peningkatan jumlah pendapatan isi rumah meningkat sehingga RM8,000 atau mungkin ada yang lebih daripada itu.
“Peningkatan dalam perumahan dan isi rumah sekali gus menjadikan infrastruktur di Jitra menjadi lebih baik dengan pelbagai kemudahan untuk sukan dan pendidikan,” katanya memetik Utusan Online.
Beliau berkata demikian dalam dialog Chit Chat TN50: This Is Jitra di Dewan Besar Institut Latihan Perindustrian Jitra hari ini.
Sesi dialog itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa Falsafah dan Tamadun, Universiti Utara Malaysia, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Turut hadir, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, Prof. Madya Dr. Shaiful Annuar Khalid. - Kedahnews.com