LANGKAWI - Persatuan Kebudayaan Batu Hiasan Antarabangsa, sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai lebih tiga juta anggota di China dan Singapura, merancang untuk mengadakan antara pameran hiasan dan kebudayaan terbesar di Langkawi Oktober ini.
Delegasi seramai 35 anggota daripada persatuan itu yang diketuai Presidennya Zeng Jin Ng, berkunjung ke sini baru-baru ini untuk meneroka kemungkinan menganjurkan pameran itu, yang julung kali diadakan persatuan itu di Malaysia.
Semasa kunjungan itu, delegasi mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertubuhan Usahawan Bumiputera Langkawi (Usahabumi) Ahmad Phisol Ishak, selain melawat beberapa lokasi tarikan pelancongan di sini.
Zeng berkata, pameran itu akan selaras dengan dasar hubungan dan kerjasama kerajaan China iaitu ‘One Belt One Road’ yang mana menerusi cara itu, akan dapat berkongsi kesenian dan kebudayaan dengan seluruh dunia.
“Kami memilih Langkawi (sebagai venue pameran) kerana kedudukannya sebagai destinasi pelancongan popular bukan sahaja dalam kalangan rakyat China tetapi juga rakyat dari negara lain,” katanya.
Sementara itu, pakar seni dan budaya Cina Prof K C Tan yang merupakan antara anggota delegasi berkata minat terhadap batu hiasan semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan masyarakat kelas pertengahan dan tinggi di China.
“Mengumpul batu hiasan, yang mana orang Cina percaya boleh membawa nasib yang baik, kini dilihat sebagai hobi orang kaya dan pameran ini akan dapat menimbulkan minat orang ramai di luar sempadan China,” katanya.
Beliau berkata status geotaman global yang diberikan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kepada Langkawi menjadikan pulau ini lokasi yang sesuai untuk menganjurkan pameran itu.
Dalam pada itu, Ahmad Phisol berkata pihaknya akan membantu persatuan berkenaan menganjurkan pameran itu dan beliau berharap ia akan menjadi satu lagi acara besar yang akan diadakan di Langkawi.
“Persatuan yang mempunyai anggota yang ramai meliputi beberapa wilayah di China, Hong Kong dan Singapura boleh memberikan impak besar dalam mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan,” katanya. - Bernama