Elak Letak Bendera & Sepanduk Di Tiang, Kabel Elektrik


KUALA LUMPUR – Parti-parti politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dinasihatkan tidak memasang bahan-bahan kempen seperti bendera atau sepanduk parti di tiang, kabel, peti pembekal, pencawang dan pepasangan elektrik lain dalam keghairahan mereka berkempen.

Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata perbuatan itu mengundang bahaya kerana risiko terkena renjatan elektrik selain mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku.

“Aktiviti berbahaya ini juga menyalahi peruntukan Seksyen 3, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga meminta kerjasama parti-parti politik supaya tidak meletakkan tiang bendera atau sebarang sepanduk berhampiran kabel atau pencawang elektrik.

“Walaupun tiang bendera yang digunakan diperbuat daripada buluh, ia tetap berisiko untuk terkena renjatan,” katanya.


Roslan turut mengingatkan orang ramai akan bahaya memegang atau membawa tiang bendera di bawah mana-mana pepasangan elektrik kerana ia boleh menarik arus elektrik, sekali gus menyebabkan renjatan elektrik kepada mereka yang berada berhampiran.

TNB, menurutnya, akan membuat pemantauan serta membuang bahan kempen yang diletakkan berhampiran pepasangannya jika berisiko tinggi kepada pengguna.

Orang ramai yang melihat sebarang keadaan yang boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik, diminta merujuk Facebook TNB CareLine atau menghubungi TNB Careline di 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera.  – Bernama