Empat Beradik Ketagi Syabu 'Seksa' Ibu Sendiri!


Kuala Lumpur: Layak digelar saudara setan. Itu gambaran terhadap empat beradik lelaki yang kerap bertindak ganas mengasari ibu mereka akibat ketagihan syabu.

Semua adik-beradik berusia 30-an itu dikesan pernah memukul ibu selain menghalau wanita malang berkenaan dari rumahnya di Kundang, Rawang.

Tindakan biadab semua suspek bagaimanapun terbongkar selepas penduduk membuat laporan kepada polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Putrajaya.

Susulan laporan itu, polis dan AADK menyerbu kediaman mereka sekitar jam 10 malam kelmarin.

Sumber berkata, polis menahan tiga beradik yang ketika itu berada di rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, seorang lagi suspek yang juga abang sulung tiada di rumah ketika kejadian.

“Ketiga-tiga beradik yang diberkas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk menjalani ujian air kencing,” katanya.

Bagaimanapun, sepasukan pegawai AADK yang menyertai operasi itu setia menanti untuk memberkas suspek utama yang diyakini pulang semula ke rumah.

Sekitar jam 1 pagi, suspek balik dengan menaiki motosikal sebelum cuba ditahan pegawai AADK.

“Namun, suspek memecut melarikan diri melalui jalan kampung walaupun dikejar kumpulan pegawai AADK.

“Berdasarkan siasatan, suspek pernah menghalau ibunya menyebabkan wanita berusia 60-an itu menghuni pondok kecil berhampiran kediamannya,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat beradik itu bertindak agresif akibat ketagihan syabu sejak beberapa tahun lalu.

“Kes seumpama ini semakin kerap dilaporkan kepada AADK sama ada oleh ahli keluarga atau penduduk yang melihat perbuatan penagih terbabit. AADK segera menahan penagih terbabit bagi proses pemulihan,” katanya.

Sumber: Astro Awani