PETALING JAYA - Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil ditegur agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes jenayah melibatkannya kerana ia sedang dibicarakan di mahkamah.
Teguran itu dibuat Majistret, Nor Ariffin Hisham selepas mengambil kira kenyataan dibuat Farid selaku Orang Kena Tuduh (OKT) baru-baru ini.
“Mahkamah mengambil kira kenyataan dibuat oleh OKT (Farid) dan diharap selepas ini tiada lagi sebarang kenyataan dibuat berhubung kes yang sedang dibicarakan.
“Apa juga perkara berkaitan dengan kes biarlah mahkamah yang pertimbangkan,” katanya.
Nor Ariffin berkata demikian ketika prosiding sebutan semula lima kes jenayah terhadap Farid di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin.
Sebelum ini Farid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) iaitu dalam kumpulan ganja ke dalam badan, pada 11 Januari lalu.
Pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.
Farid turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.
Sebutan kes itu disambung pada 7 Mei depan sebagai pengurusan kes.
Dalam pada itu, peguam mewakili Farid iaitu Faizul Mohd Nasir memberitahu mahkamah anak guamnya tidak menyentuh atau membuat kenyataan berhubung kes yang sedang dituduh di mahkamah.
Bagaimanapun Faizul memohon maaf atas perkara itu dan mengambil kira teguran mahkamah pada masa hadapan.
“Kami tidak menyentuh secara langsung mengenai kes yang sedang berjalan di mahkamah dalam kenyataan.
“Tiada subjudis namun terima kasih atas peringatan,” katanya.
Pada 28 Februari lalu Farid bersama peguamnya melakukan sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar semasa ditahan pihak polis.
Dalam pertemuan dengan wartawan itu Farid mendedahkan indivdiu sebenar yang menyemburkan dadah kepadanya selain mendakwa dipukul anggota polis semasa dalam tahanan.
Sumber: Mstar Online