SHAH ALAM - Datuk Farid Kamil memberitahu kontroversi berkaitan dadah yang berlaku merupakan titik paling bawah dalam sejarah kehidupannya.
Farid, 36, berkata, dia juga terkilan apabila perkara buruk itu terjadi ketika dia sudah berkeluarga dan mempunyai anak.
"Sebagai seorang selebriti sudah tentu saya rasa berada titik paling bawah dalam kehidupan. Dunia saya seperti bertukar menjadi lain disebabkan faktor yang tidak pasti.
"Gambar-gambar yang tersebar itu memalukan dan perkara ini berlaku sekarang di mana saya mempunyai keluarga dan anak. Saya sangat ralat semua ini berlaku lepas saya berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.
Farid ditemui pada sidang media khas yang diadakan di The Loft Event Space, Setia Alam, di sini, Rabu.
Menerusi sidang media itu, Farid menjelaskan kontroversi berkaitan dadah yang didakwa telah dianiaya oleh pihak tertentu.
Dalam pada itu, Farid berkata, dia bersyukur apabila isterinya aktres Datin Diana Danielle sentiasa memberi sokongan dari belakang.
"Isteri saya faham apa yang berlaku dan dia sentiasa beri sokongan. Cuma anak-anak susah untuk jelaskan kepada mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas soal gelaran Datuk kononnya akan ditarik balik, Farid memberitahu sehingga kini dia tidak menerima maklum balas rasmi berkaitan penggunaan darjah kebesaran tersebut.
Aktor tersebut menerima Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 16 Disember lalu. Bagaimanapun, gelaran itu dipertikaikan selepas dia ditahan berkaitan penggunaan dadah.
Kaki Berkudis, Farid Tuntut Ganti Rugi Daripada Produksi
Sementara itu, dalam kes berbeza, Farid menerusi peguamnya Faizul Mohd Nasir memberitahu sudah menghantar notis tuntutan terhadap pihak produksi sebuah drama yang dianggap lalai dan tidak menjaga keselamatannya sebagai seorang pelakon.
Faizul berkata, anak guamnya itu mengalami kudis dan kecederaan teruk pada bahagian kaki akibat penggunaan air kotor dalam sebuah babak drama berkenaan.
"Tindakan produksi tidak menggunakan air bersih dan pakaian keselamatan tang sepatutnya ketika babak aksi lasak meletakkan nyawa anak guam saya dalam bahaya.
"Namun beliau telah melakukan tugas secara profesional walaupun mengalami kecederaan serius menyebabkan dia tidak boleh memakai seluar selama 10 hari," katanya.
Katanya, tuntutan itu adalah atas faktor produksi berkenaan telah menyebabkan aset Farid sebagai seorang pelakon terjejas.
"Notis sudah diserahkan dan akan berbincang tentang perkara selanjutnya. Jika mahu menyelesaikan di luar mahkamah kita boleh berbincang.
"Tanggungjawab produksi untuk menjadi wajah dan tubuh badan pelakon agar tidak terjejas dan rosak yang boleh mengakibatkan kerugian kepda pelakon berkenaan," ujarnya.
Perkara itu juga sudah dilaporkan kepada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi.
Pada 11 Januari lalu, Farid hadir ke Balai Polis Kota Damansara bersama seorang rakan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya.
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai tujuan laporan ingin dibuat, Farid menunjukkan mesej aplikasi Whatsapp berbunyi '300 artis hutang ah long'.
Farid tiba-tiba bertukar berang sebelum menampar anggota polis berkenaan yang turut disaksikan oleh seorang anggota lain dan tiga orang awam.
Ujian saringan air kencing juga mendapati Farid positif dadah jenis ganja.
Farid telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.
Selain itu, Farid juga direman mengikut Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Sumber: Mstar Online