Filem Biografi Chong Wei Pecah Rekod


SEMALAM, telah tercatat satu lagi sejarah dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records apabila seramai 20,000 penonton telah hadir bagi membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil demi menyaksikan tayangan perdana filem biopik Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan.

Filem tersebut telah ditayangkan menerusi skrin besar berukuran 40m x 17m bagi memberikan kepuasan kepada penonton yang hadir.


Jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei turut hadir pada acara red carpet pada malam tadi ditemani isteri tercinta, Datin Wong Mew Choo bersama dua anak lelaki mereka, Kingston dan Terrance.

Dalam masa yang sama, Chong Wei kini sedang dalam persediaan dalam menghadapi perlawanan All England pada minggu hadapan.


Walaupun sibuk membuat persiapan, pemain badminton tersohor itu kelihatan teruja dengan kemeriahan serta sokongan yang diberikan semalam.

“Saya berasa cukup berbangga untuk berada di sini pada malam ini bersama 20,000 penonton dan ia cukup istimewa walaupun saya bermain dihadapan orang ramai dalam acara sebelum ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan saya sendiri tidak sangka penghasilan filem ini akhirnya tercapai,” katanya dipetik daripada mStar Online.


Tambah Chong Wei, pengarah filem berkenaan, Teng Bee telah menyatakan hasratnya itu ketika dia sedang mengahadapi Sukan Olimpik London 2012 lalu, namun sekitar tahun 2016 barulah ia dapat direalisasikan.

Sebagai seorang pemain badminton, Chong Wei sama sekali tidak pernah terfikir bahawa kisah tentang kehidupannya akan diangkat ke layar perak.


Selain itu, tayangan perdana malam semalam turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta disertai oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria selain Datuk Misbuk Sidek, Datuk Seri Jalani Sidek dan Rahman Sidek.

Bagi sudut pandangan Khairy sendiri, Chong Wei merupakan hero negara dan kisahnya juga akan berterusan menjadi sumber inspirasi kepada generasi yang akan datang.

Selaku jurulatih Chong Wei, Misbun menganggap filem berkenaan akan menjadi sumber inspirasi kepada ramai golongan masyarakat dalam pelbagai bidang.

Pada Khamis ini, filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara.

Malah, filem biopik berkenaan turut akan ditayangkan di lebih 5,000 pawagam di China, Taiwan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan beberapa negara lain.- Kedahnews.com