Gaji Minimum TVET Wajar RM3,500 Sebulan


KUALA LUMPUR – Gaji minimum pekerja lulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dicadangkan sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan agar setanding dengan tenaga mahir asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana tenaga mahir dari luar negara diberi ketetapan gaji sedemikian, malah ada yang lebih tinggi, lapor Utusan

“Secara peribadi, saya meminta gaji minimum tenaga mahir TVET sama sekurang-kurangnya dalam RM3,500 sebulan dan pada 2030 pada RM5,000 sebulan.

“Dengan menaikkan kepada rm3,500 sebulan, ia akan menaikkan semangat para belia tempatan yang berpotensi untuk menyertai dalam bidang TVET,” katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran Ekspo TVET 2018 dan portal TVET di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber: Suara TV