Gelojak Jiwa, Gelisah Punca Tekanan


KUALA LUMPUR - Penyelidikan psikologi Islam membuktikan individu yang cenderung mengalami tekanan dikenal pasti sebagai insan yang mengalami ketegangan fizikal dan psikologi dalam tempoh masa panjang.

Timbalan Pengarah Pusat Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fariza Md Sham, berkata gejala stres dialami individu apabila keadaan jiwa mengalami pergolakan dan kegelisahan yang teruk.

Katanya, kes Hasmah Masroh, 32, meninggalkan anak perempuannya Nur Awfa Humaisha Muhammad Ali Riduan, 2, di dalam kereta selama empat jam, maut akibat sesak nafas di parkir, di kolej kemahiran Port Dickson, baru-baru ini, antara contoh, bagaimana stres dialami wanita boleh memudaratkan keadaan sekeliling.

Mengikut perspektif psikologi Islam, jika tabiat itu dibiarkan boleh menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali situasi.

"Saya yakin, kejadian ibu terlupa anak kecilnya berada dalam kereta ada kaitan dengan situasi ini.

"Ibu mungkin tergesa-gesa dan mengalami stres kerana perlu menyelesaikan urusan kerja sehingga mengganggu keupayaan ibu mengendalikan sebaiknya antara anak dan kerjaya," katanya kepada BH.

Perkara seperti itu boleh ditangani sebaiknya apabila individu perlu mengenali tanda stres dialami.

Beliau berkata, kajian psikologi menunjukkan terdapat tiga kategori tindak balas yang boleh mengenal pasti sama ada seseorang mengalami tekanan atau tidak.

Ia adalah tindak balas fisiologi, tindak balas psikologi dan tindak balas tingkah laku.

"Contoh tindak balas fisiologi dialami wanita ialah ketegangan otot di bahagian bahu, tidak bermaya dan letih manakala degupan jantung menjadi kencang ketika berhadapan dengan masalah.

"Manakala tindak balas psikologi adalah rasa bimbang keterlaluan, cepat marah, mudah menangis dan resah gelisah.

"Sementara tindak balas tingkah laku pula ialah cepat panik, mudah bosan dan rasa ingin menyendiri," katanya.

Beliau berkata, antara faktor utama yang membawa kepada stres adalah diri sendiri dan diikuti pengaruh keluarga, pekerjaan selain faktor persekitaran.

"Wanita berkerjaya biasanya tertekan dengan pengurusan masa. Ada pelbagai peranan dan tanggungjawab di pejabat dan rumah selain menguruskan keperluan anak .

"Situasi ini kadang kala mencetuskan tekanan, wanita merasa kecewa tidak dapat memikul semua tanggungjawab dalam satu masa lantas.

"Apabila stres berlaku, keupayaan mental dan psikologi terganggu dan mengakibatkan lupa pada sesuatu perkara yang berisiko memudaratkan keadaan dan diri sendiri ," katanya.

Sumber: BH Online