KUALA LUMPUR - Golongan milenial atau Gen Y lebih mementingkan ruang pejabat yang kondusif berbanding hasil kerja yang memberikan impak positif.
Ini dibuktikan menerusi kajian terbaru syarikat rekaan pejabat, Mindspace, iaitu satu per lima golongan tersebut memilih persekitaran bekerja yang mengikut trend.
Menerusi laporan yang sama atas kajian yang dilakukan di United Kingdom, 31 peratus pekerja di sana mengatakan bahawa persekitaran pejabat mereka tidak dapat memberikan inspirasi.
Antara dapatan yang dilaporkan menerusi kajian yang dijalankan terhadap 2,000 pekerja itu, 28 peratus daripadanya mengatakan ruang pejabat mereka tidak mengikut kehendak dan trend semasa.
Menurut Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata hal tersebut terjadi kerana golongan milenial lebih mementingkan persekitaran yang selesa untuk menghasilkan kerja yang baik.
“Rasanya milenial memang dibesarkan dalam situasi yang mungkin berbeza dengan Gen X. Saya sebagai Gen X boleh katakan begitulah.
"Golongan milenial ni lebih peka kepada persekitaran dunia,” katanya ektika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Selain itu katanya, perbandingan ruang persekitaran pejabat antara syarikat teknologi dengan syarikat biasa tidak wajar dibandingkan.
“Rasanya rata-rata industri teknologi memang sudah lama mengaplikasikan situasi kerja yang sedemikian sebab sekarang ini industri teknologi memang antara industri yang terutama di dunia,” jelasnya.
Hal ini kerana golongan milenial lebih terpengaruh dengan ruang persekitaran pejabat yang dimiliki oleh rakan sebaya mereka dan ini secara tidak langsung mewujudkan perbandingan.
Sumber: Awani