KUALA LUMPUR - Sejumlah 300,000 rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas didapati mengalami gangguan mental berkaitan kemurungan hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ia merangkumi 1.8 peratus daripada anggaran 30 juta rakyat Malaysia pada ketika ini.
Malah ujarnya, hasil saringan Program Minda Sihat yang dibuat pada 2017 melalui kerjasama Kementerian Pendidikan dengan mengunakan saringan DASS (Depression, Anxiety & Stress) ke atas 253,196 pelajar tingkatan empat pula menunjukkan seramai 1,163 pelajar atau 0.45 peratus mengalami kemurungan.
"Data juga dikumpulkan oleh Kementerian Kesihatan melalui saringan Minda Sihat yang dijalankan di klinik kesihatan dan komuniti bagi tahun 2017 di mana bagi kategori kemurungan, daripada 273,203 orang yang telah disaring, 4.03 peratus atau 11,811 daripadanya menunjukkan tanda-tanda kemurungan tahap ringan.
"Sementara 1.26 peratus atau 3,680 tahap sederhana dan 0.62 peratus atau 1,682 berada pada tahap teruk," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang meminta anggaran rakyat Malaysia yang menderita pelbagai tahap kemurungan, sebab musababnya dan rawatan pemulihannya.
Menjawab soalan tambahan Kok Wai yang bertanyakan sama ada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjadi antara punca kemurungan, Dr Hilmi menjawab: "Sebabnya memang banyaklah, seperti yang disebut Cheras, tapi tak termasuk GST".
Tambah Dr Hilmi, kajian menunjukkan bahawa kemurungan tidak semata-mata kerana gangguan kimia dalam otak.
"Sebaliknya, terdapat banyak kemungkinan penyebab kemurungan, termasuk regulasi 'mood' yang tidak teratur, faktor genetik, peristiwa kehidupan yang tidak dapat ditangani, ubat-ubatan dan masalah perubatan.
"Adalah dipercayai bahawa beberapa faktor ini berinteraksi untuk membawa kemurungan," ujarnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa kadar kemurungan bagi penduduk dunia pada 2015 adalah 4.4 peratus di mana kadar di Asia Tenggara adalah 4.5 peratus.
Ujar Dr Hilmi, memandangkan data hasil saringan KKM adalah rendah dari anggaran WHO, maka dapat disimpulkan bahawa kemurungan di Malaysia tidak berada pada tahap yang membimbangkan tetapi perhatian perlu diberikan bagi menangani masalah ini.
Sumber: Awani