Gua Musang Asal Tanah Hutan


GUA MUSANG - Menyelak lembaran sejarah pembangunan Gua Musang, daerah ini menyimpan cerita tersendiri malah serangan komunis juga tersimpan kemas sebagai sejarah hitam sebelum negara mencatat kemerdekaan.

Merupakan jajahan terbesar di negeri Che Siti Wan Kembang dengan keluasan 8,214 kilometer persegi, daerah ini lebih unik berbanding jajahan lain kerana turut dihuni kelompok masyarakat Orang Asli paling ramai iaitu melebihi 15,000 penduduk.

Seiring dengan pembangunan berperingkat di bawah pimpinan Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah, bermula dari tanah hutan yang dimajukan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Gua Musang kini memiliki kepadatan hampir 150,000 penduduk.

Dari jumlah itu, Kesedar yang melalui proses penstrukturan semula pada 1997 diberi tanggungjawab memacu kawasan seluas 797,976 hektar merangkumi 23 JKKKP termasuk kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), 99 kampung tradisional, dua Rancangan Pemulihan Tanah (RPT), satu pusat pertumbuhan, 14 perkampungan Orang Asli, tiga Rancangan Penempatan Semula (RPS) dan dua bandar utama.

Manakala Felda yang ditubuhkan pada 1956 pula diberi mandat menguruskan kawasan gagasan Chiku (Chiku 1, 2,3,5,6,7), Aring dan Perasu yang kini mempunyai hampir 2,000 peneroka.

Meskipun kawasan ini masih kaya dengan kehijauan, bukit bukau serta gua yang menjadi tanda sejarah pembukaan jajahan, namun pembangunan di daerah ini tidak kurang hebatnya.

Antara pembangunan yang telah dilakukan demi  masa depan  dan kemudahan rakyat tempatam adalah pembinaan 1,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Sekolah Menengah Sains Gua Musang, pembangunan perumahan di Bandar Utama dan Bandar Baru, Rumah Kekal Banjir (RKB) serta penempatan asrama bagi menampung 1,000 pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, beberapa projek yang sedang melalui fasa pembinaan adalah Masjid Razaleigh di Mukim Bandar Lama, jambatan Pulau Setelu yang menghubungkan daerah ini ke Jeli/Jelawang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Betis.

Sumber: Sinar