PENYANYI baharu, Haikal Azman akur dengan kehendak keluarga yang meminta dia memutuskan hubungan cinta bersama seorang penyanyi wanita kerana enggan dianggap anak derhaka.
Memetik kenyataannya dalam laporan mStar Online, ibu dan kakaknya memohon agar dia memberi sepenuh komitmen kerjayanya yang baru bersinar.
“Keluarga bukannya tak suka saya bercinta. Cuma mereka tak mahu saya terbawa-bawa pasal hubungan ini sehingga tidak fokus terhadap kerjaya.
“Demi masa depan, saya ikut sahaja nasihat mereka. Saya sayangkan keluarga dan saya pun tak mahu jadi anak derhaka,” kata Haikal.
Haikal berkata lagi meskipun berat hati untuk mengambil keputusan itu namun dia redha sekiranya ia terbaik buat dirinya.
Dalam pada itu Haikal ketika ditanya pihak media mengenai reaksi bekas teman wanitanya, dia menjelaskan penyanyi yang dikenali lebih setahun itu faham dengan apa yang berlaku.
“Dia juga penyanyi, jadi dia faham situasi ini. Iyalah, sekarang ni fasa untuk mengukuhkan tapak dalam industri seni.
“Nanti jika kerjaya saya dah stabil dan jodoh masih kuat, tidak mustahil jika kami kembali bersama,” jelas Haikal.
Dalam perkembangan lain, Haikal bersyukur apabila single pertamaya iaitu Kenangan Cinta mendapat sambutan menggalakkan di aplikasi penstriman muzik, Joox.
“Video eksklusif itu khusus untuk peminat yang banyak menyokong saya. Ia baru sahaja dilancarkan pada 7 Mac lalu, dalam masa seminggu sahaja ia sudah ditonton lebih 40 ribu kali.
“Ia satu pencapaian yang agak besar sebab pengguna Joox tidak seramai penonton di laman YouTube,” katanya.
Selain itu, Haikal juga kini dalam proses untuk menghasilkan single keduanya yang dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini. - Kedahnews.com