Hamidin Bakal Cipta Sejarah


KUALA LUMPUR - Datuk Hamidin Mohd Amin akan mencipta sejarah muncul individu pertama yang bukan daripada golongan kerabat diraja atau ahli politik menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jika beliau terpilih sebagai pengganti Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAM ketika ini dicalonkan sendiri oleh Tunku Ismail selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu melepaskan kerusi panas itu, baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi menjelaskan ia dilihat sebagai perubahan baik bagi sukan bola sepak negara yang sudah sekian lama dahagakan pembaharuan.

Sambil menyifatkan cadangan Tunku Ismail itu tepat, Kok Chi percaya Hamidin mampu membawa perubahan yang diharapkan biarpun beliau bukan dalam kalangan kerabat diraja, orang kenamaan (VIP) atau ahli politik.

"Bagi saya persatuan sukan sebenarnya tidak perlu bergantung sepenuhnya terhadap golongan VIP, ahli politik atau kerabat diraja sebagai presiden. Jadi, kami harap Hamidin akan menjadi Presiden FAM dan mengubah persepsi itu.

"Pemilihan individu biasa memegang jawatan tertinggi itu akan menjadikan mereka lebih jujur dan bekerja keras untuk menaikkan nama persatuan.

"Malah saya kagum dengan tindakan TMJ kerana membuat keputusan realistik dan jujur apabila mencalonkan Hamidin sebagai Presiden FAM yang baharu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain menyifatkan Hamidin sebagai calon paling layak dipilih sebagai presiden, Tunku Ismail juga mengesyorkan Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.

Biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, namun keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan FAM.

Untuk rekod, Hamidin memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selama 15 tahun dari 1998 hingga 2013.

Selepas itu, Hamidin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 2013 bagi menggantikan Datuk Seri Azzuddin Ahmad, ketika FAM di bawah kepimpinan Sultan Ahmad Shah.

Sumber: BH Online