KUALA LUMPUR - Penyanyi rap, Caprice, menyifatkan dakwaan UNIC kononnya beliau enggan bekerjasama mempromosikan lagu duet mereka, Sedar, sebagai strategi pemasaran kumpulan nasyid itu.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 30, berkata ia terbukti berhasil apabila isu terbabit menjadi perhatian orang ramai dan media.
"Anda masih tidak percaya ia cara mereka dalam pemasaran? Artikel di akhbar adalah mengenai saya, tetapi gambar apa yang digunakan (media)? Ia adalah foto sampul album mereka.
"Saya juga berasa kelakar kerana sebelum ini, mereka buat 10 promosi, tiada satu pun maklum balas. Tetapi. apabila nama saya menjadi tajuk utama, semua orang baca. Jumlah tontonan (video muzik lagu itu) pun semakin meningkat.
"Kekuatan lagu itu bukan terletak pada berapa kali anda mempromosikannya, tetapi betapa bagusnya karya terbabit. Anda boleh menilainya sendiri," katanya di Instagram beliau sambil mendakwa, kumpulan terbabit mengambil kesempatan atas kesibukannya dengan membuat kenyataan kepada pihak media.
Pada 8 Mac lalu, anggota UNIC, Fakhrul, mendakwa buntu dengan Caprice yang hanya sempat beberapa kali menjayakan siri promosi, termasuk di stesen radio.
Malah, dakwanya, sejak 22 Februari lalu, semua mesej yang dihantar kepada penyanyi itu tidak dibalas biarpun beliau yakin ia sudah dibaca.
Kemudian, menerusi ruangan pojok sebuah akhbar, nama Caprice menjadi tajuk utama, kononnya beliau 'cakap tidak serupa bikin'.
Sementara itu, menerusi perkongsian sama, Caprice turut memberi contoh lagu Pejamkan Mata dendangan Dayang Nurfaizah dan Malique tetap popular meskipun bintang rap itu tidak pernah muncul melakukan promosi.
"Lagu Pejamkan Mata menjadi hit kerana lagunya yang bagus, Malique tak pernah muncul pun.
"Daripada lima yang diberi, saya hanya boleh memberikan komitmen untuk dua tarikh. Hanya kerana saya terlepas tiga promosi, mereka terus 'menangis' mengadu kepada media," kata penyanyi lagu Korang Tak Boleh Blah itu.
Sejak dimuat naik ke laman YouTube pada penghujung November tahun lalu, video lirik rasmi lagu Sedar kini ditonton lebih 488,000 kali.
Sumber: BH Online