Hari Polis: Najib Umum Berita Gembira


KUALA LUMPUR: Lebih 130,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima khabar gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tiga buah tangan sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211, hari ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan RM15 juta untuk Pusat Latihan Polis (PULAPOL)Kuala Lumpur, di sini, diharap dapat membaiki infrastruktur di pusat latihan berkenaan.

"Kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga memperuntukkan dana khas RM1.5 bilion skim pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) i-KOP untuk ahli Koperasi PDRM.

"Ia akan memberi faedah kepada anggota polis yang menjadi ahli (Koperasi PDRM)," katanya ketika berucap merasmikan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-211 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Najib berkata, selain itu kerajaan turut memperuntukkan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)-PDRM untuk warga polis dikenali sebagai PPA1M Kenanga.

Beliau berkata, PPA1M Kenanga adalah antara sebahagian unit diperuntukkan PPA1M-PDRM dengan harga jualan antara RM120,000 hingga RM300,000 yang mana harga jualannya paling rendah di pasaran.

Sumber: BH Online