Harimau Malaya Tak Mampu 'Hidup' Tanpa JDT?


SETELAH seri 2-2 menentang pasukan bertaraf liga semi profesional, Mongolia Khamis lalu, jurulatih Harimau Malaya membuat jenaka terburuk dengan pengumuman mengejutkan kelmarin.

Tan Cheng Hoe menggugurkan 14 pemain JDT yang disenaraikan pada perlawanan menentang pasukan ranking 189 dunia itu, dengan alasan mengikut desakan peminat.

Sebanyak 14 pemain JDT yang mendominasi 90 peratus kesebelasan utama Harimau Malaya, tidak akan bersama skuad kebangsaan dalam perlawan terakhir kelayakan Piala Asia di Beirut, Selasa ini.

“Sebelum perlawanan menentang Mongolia semalam (kelmarin), saya (bersama) barisan jurulatih telah memilih pemain-pemain yang kami rasa yang terbaik dalam Malaysia.

“Saya berpendapat semua sedar bahawa pemain-pemain tersebut yang terbaik di Malaysia dan selepas perlawanan menentang Mongolia, kerana keputusan seri, saya rasa banyak orang menuduh kami barisan jurulatih pilih kasih menurunkan 90 peratus daripada (pasukan) JDT.

“Mungkin itu kehendak peminat dan kami sebagai jurulatih mengambil tanggungjawab tersebut kerana kita tahu perlawanan menentang Lebanon, kita tiada peluang dalam Piala Asia 2019,

“Saya berpendapat pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dan kita mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain lain ketika bertemu Lebanon dan kami lepaskan pemain-pemain JDT ini,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sejumlah 14 pemain JDT yang diberikan pelepasan pulang itu ialah Safiq Rahim, Ahmad Haz­wan Bakri, Darren Lok, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Afiq Fazail, Syafiq Ahmad, Adam Nor Azlin, Haziq Nadzli, Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong dan Adib Zainuddin.

Sudahlah lawan Mongolia pun seri, sudahlah kini ranking skuad negara di tangga 178 terbaik dunia, sudahlah gagal menang 12 perlawanan sejak Jun 2016, kini ada jenaka baharu pula.

Lebih buat kita rasa nak muntah, ialah menyedari perbuatan menggugurkan 14 pemain JDT ialah perangkap awal untuk menyalahkan peminat.

Tanpa pemain JDT, kekalahan teruk di Beirut akan dijadikan alasan, skuad bidan terjun dengan sembilan muka baharu akan dijadikan sebagai korban kalau kalah teruk di tangan Lebanon.

Wahai Cheng Hoe! Sejak bila jurulatih memilih mengikut desakan peminat?

Kalau teringin sangat hendak mengikut kemahuan peminat, kenapa sejak awal mengambil alih jawatan jurulatih, Cheng Hoe tidak mengamalkan konsep: Membariskan pemain kebangsaan mengikut undi popular online oleh peminat?

Taktik Cheng Hoe mudah difahami: Tanpa bintang JDT, dia mengharapkan pasukan Harimau Malaya dibelasah teruk skuad Lebanon.

Jadi, selepas itu, dengan mudah Cheng Hoe akan mengatakan: “Nasib kita lebih buruk tanpa bintang JDT!”

Sudahlah Cheng Hoe! Peminat Harimau Malaya bukan lembu ladang yang bodoh!

Kami dah boleh baca politik FAM. Anda kini hanyalah jurulatih yang tidak lebih berperanan sebagai budak suruhan!

TMJ, selaku Presiden FAM dikatakan sudah dimaklumkan.

Anda fikir kami tidak fahamkah politik kelas kambing yang seteruk ini? - Kedahnews.com