ALOR SETAR - Penyandang juara Piala FA, Kedah akan menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi ancaman kekuatan pasukan gergasi Pantai Timur, Pahang pada pusingan ketiga di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.
Bagi pengurus Helang Merah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin menyifatkan kekuatan dan kemampuan Pahang yang dilihat semakin meningkat musim ini pastinya menjadi ancaman utama dalam usaha mereka mempertahankan trofi tersebut musim ini.
"Kedah perlu membuktikan kewibawaan serta prestasi terbaiknya kerana semua sedia maklum Pahang bukan calang-calang pasukan dan antara pasukan terkuat untuk ditentang dalam Liga Malaysia khususnya Piala FA seperti musim lalu.
"Kami tetap pergi ke Kuantan dengan penuh keazaman dan bertekad untuk mempertahankan Piala FA... walaupun kami juara bertahan, namun kami tetap menganggap pasukan ini sebagai underdog.
"Kami hormati kekuatan dan keupayaan lawan yang mana anda sedia maklum mereka berada di preetasi terbaik ketika ini ditambah pula dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan baru-baru ini pastinya mencetus motivasi tinggi buat mereka beraksi di laman sendiri," katanya memetik BH Online.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dan mengucapkan kata-kata semangat yang turut dihadiri penaja Kedah musim ini iaitu Pengarah Urusan ECK Development Sdn Bhd, Puan Seri Ginney Chew kepada jurulatih dan semua pemain skuad Lang Merah di padang latihan di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.
"Keputusan perlawanan lalu (kekalahan) adalah pengalaman dan pengajaran untuk pasukan terus bangkit memburu kejayaan khususnya dalam saingan Piala FA kali ini.
"Pemain harus lebih berhati-hati kerana ini perlawanan kalah mati dan sebarang kesilapan mudah boleh mengundang kelebihan buat lawan," ujarnya. - Kedahnews.com