LUMUT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta orang awam untuk menghubungi jabatan itu terlebih dahulu berbanding mengambil gambar sesuatu kejadian bagi memastikan operasi penyelamatan dapat dijalankan pada kadar segera.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata tindakan orang ramai yang suka mengambil gambar sebelum menghubungi bomba antara faktor pasukan penyelamat itu lambat menerima panggilan kecemasan dan ia dikesan hasil daripada semakan semula masa panggilan yang diterima apabila berlaku sesuatu kejadian.
“Sebelum ini kita banyak menerima rungutan awam yang (bomba) lambat sampai (ke lokasi kejadian) namun sekarang ini kita mendapati rungutan itu semakin kurang.
“Jika ada rungutan kita akan memeriksa semula rekod dan mendapati ada kelewatan membuat panggilan kepada bomba. Apa-apa pun saya berpuas hati dengan prestasi pegawai bomba secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun 2017 JBPM Perak di sini, hari ini.
Pada majlis itu, lebih 142 anggota bomba menerima penghargaan atas sumbangan yang diberikan selain sebagai galakan kepada anggota untuk meningkatkan prestasi terbaik.
Wan Mohd Nor berkata pihaknya sentiasa menitikberatkan prestasi anggota dan memastikan masa tindak balas yang cepat pada setiap operasi yang dilakukan dalam menjaga mutu perkhidmatan pasukan itu.
“Bagi kes yang lewat tiba selepas menerima panggilan itu adalah kerana jarak lokasi yang tidak boleh dielakkan. Seperti kes kebakaran, orang awam yang melihat kejadian itu sepatutnya membantu pemilik terus menghubungi bomba kerana ada sesetengah mereka yang tidak menyedari kejadian, panik atau trauma,” katanya.
Terdahulu, Wan Mohd Nor menyempurnakan pemakaian pangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM kepada Datuk Bandar Ipoh itu, Zamri turut dianugerahkan pingat Ketua Pengarah Bomba (PKPB). – Bernama