Ibu Elfira Terus Sindir Sufian Di Instagram, Eh Betul Ke?


MAKIN panas, bukan panas cuaca tapi panas dengan kontroversi apabila ibu Elfira Loy dilihat terus mencetuskan spekulasi berhubung kisah putus tunang anaknya dengan penyanyi, Sufian Suhaimi.

Memetik sumber, Ibu Elfira iaitu Filzah Yusoff menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen selepas beliau terus menerus memuat naik entri yang dilihat seolah-olah cuba meluahkan apa terpendam di dada.

Dalam entri terbaharu kali ini, Filzah dilihat secara sinis menyindir dan mempersoalkan tentang sikap seorang individu yang suka menipu.

“Dari hari pertama menipu sampailah saat hujung tanduk pun masih menipu bila nak berubah?” tulisnya.

Tidak terhenti di situ, Filzah turut memuat naik perkongsian yang berbunyi ‘kebohongan adalah awal kehancuran’ beserta ayat petikan daripada Hadis riwayat Imam Bukhari.

“Seseorang yang sudah biasa berbohong baik dalam ucapan mahupun tindakan pada hakikatnya sedang menjerumuskan diri ke lembah kehinaan.

“Dia sedang menambah catatan amal buruk yang kelak harus dipertanggungjawabkan. Berupayalah untuk hindari kebohongan seremeh apapun berlaku jujur baik dalam ucapan dan tindakan.

Betapapun pahitnya yakinlah kejujuran akan lebih dihargai dan mendapat tempat di hati orang lain,” tulisnya.

Meskipun tidak mendedahkan sindiran itu ditujukan kepada siapa, namun ibu pelakon berkenaan seperti memberi bayangan luahan itu mempunyai kaitan dengan krisis pertunangan yang melibatkan anaknya.

Pun begitu, hasil tinjauan mendapati ibu Elfira yang menggunakan akaun nama Mamacat2016 di Instagram ternyata tidak menerima reaksi positif netizen yang mana rata-rata menyelar tindakan wanita itu.

Secara tidak langsung keadaan itu telah membuatkan Filzah ‘bergaduh’ dengan netizen yang tidak bersetuju terhadap pendapatnya. –Kedahnews.com