Ibu Menyusu: Segera Solat Atau Boleh Lewatkan?


SEORANG ibu wajib menunaikan solat fardu pada waktunya sekalipun berdepan cabaran berseorangan menangani karenah bayi yang enggan melepaskan susunya.

Keadaan itu perlu diambil kira sekiranya bayi tersebut jika dibiarkan hanya menangis sahaja dan tidak terdedah kepada bahaya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ibu yang mengalami keadaan tersebut bagaimanapun harus meringkaskan solatnya dengan meraikan rukun wajib kerana dikhuatiri ia boleh menyebabkan mudarat kepada bayi tersebut.

“Kami nasihat ibu itu perlu kreatif untuk meletakkan anaknya di tempat yang selamat semasa dia menunaikan solat fardu seperti di dalam katil bayi yang berpagar dan di dalam bilik yang selamat,” katanya memetik Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan mengenai hukum melewatkan solat sehingga habis waktu kerana menyusukan anak.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa keadaan jika anak tersebut diletakkan di sebelahnya dan menghampiri ketika solatnya.

Jelasnya, ibu tersebut harus mendukung anak itu atau menanggungnya jika anak itu diyakini tidak menanggung najis seperti tidak zahir najis atau bau.

“Jika anak itu diyakini menanggung najis, maka tidak batal hanya kerana bersentuhan dengan anak itu. Adapun jika mendukung, mengangkat atau menggenggam tangannya, maka itu dianggap menanggung najis dan membatalkan solat,” katanya.

Sementara itu katanya, dalam keadaan lain sekiranya anak itu jika dibiarkan keseorangan boleh menyebabkan kebinasaan yang spontan, ibu tersebut harus melewatkan solatnya walaupun habis waktu.

Sebagai contoh katanya, sekiranya pada waktu itu ibu dan bayi tersebut sedang berada di tebing bukit yang tinggi atau di atas sampan, hal tersebut dianggap sebagai darurat.

“Kami menasihatkan agar para ibu tidak mencuaikan tanggungjawab mereka untuk menunaikan solat sekalipun kasihan melihat anak yang menangis. InsyaAllah Allah SWT akan bantu kita apabila kita bersungguh menunaikan perintah-Nya,” katanya.

Dalam masa sama katanya, para suami wajib membantu isteri memenuhi tanggungjawab dirinya kepada pencipta dengan memberi pendidikan agama sempurna dengan penyampaian yang tepat, berhikmah dan bersabar.

“Jangan menyindir-nyindir kejahilan isteri kerana itu hanya membawa kepada fitnah yang lebih besar pada agamanya. Hendaklah pasangan suami isteri itu saling menolong agar impian Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) itu dapat direalisasi dalam keredaan Allah Azza Wa Jalla,” katanya.

Sumber: Al-Kafi #709: Hukum melewatkan solat sehingga habis waktu kerana menyusukan anak - Facebook Mufti Wilayah Persekutuan