KUALA LUMPUR - Penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan mengumumkan nama cahaya mata sulungnya hanya selepas tujuh hari kelahirannya.
Keputusan itu adalah hasil persetujuan beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selain ia juga merupakan amalan sunat dalam menetapkan nama cahaya mata menurut agama Islam.
“Saya dan suami telah bersepakat untuk tidak lagi mengumumkan nama bayi yang bakal dilahirkan.
“Pengumuman hanya akan dibuat selepas tujuh hari kelahiran bayi kami selain merupakan amalan yang disunatkan dalam Islam,” kata Siti Nurhaliza kepada Astro AWANI.
Terdahulu, Siti Nurhaliza mengesahkan akan melahirkan bayinya secara caesarean (pembedahan) selepas mendapat nasihat daripada doktor.
“Memang daripada awal saya telah dinasihatkan oleh doktor untuk melalui proses pembedahan. Jadi saya ikut sahaja apa yang dinasihatkan dan bersedia dengan apa jua keadaan.”
Siti Nurhaliza hari ini turut melancarkan single terbaharunya berjudul ‘Comel Pipi Merah’ yang ditujukan khas buat bakal bayinya.
Katanya, lagu tersebut bukan sahaja amat bermakna buat bakal bayi yang dilahirkan malah boleh dijadikan irama untuk para ibu mendodoikan bayi mereka.
Sebelum ini Siti Nurhaliza telah menamatkan teka-teki jantina bayi sulung apabila penyanyi tersohor itu mengumumkan bakal menimang cahaya mata perempuan.
Pengumuman menerusi rakaman video di laman Instagram dibuat bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-39.
Sumber: Awani