ALOR SETAR - Sekumpulan lelaki warga Myanmar yang leka bermain karom sehingga tidak menyedari serbuan sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen di sebuah kedai runcit di Taman Sena, Pokok Sena, malam tadi.
Dalam pemeriksaan Op Gegar pada jam 8.30 malam itu, lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an tersebut ditahan selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Mereka adalah antara 17 warga asing diberkas anggota penguat kuasa dalam operasi selama enam jam di sekitar Pokok Sena dan Kuala Nerang.
Menurut Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi bermula jam 5 petang itu, seramai 49 orang pelbagai warganegara diperiksa di sembilan lokasi berasingan.
Daripada jumlah itu, katanya, 10 lelaki dan tujuh wanita warga Thailand, Myanmar dan Kemboja berusia antara 16 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Dalam serbuan di lokasi pertama, dua lelaki warga Thailand ditahan selepas dikejar sejauh 100 meter (m) ketika cuba melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit, diikuti penahanan tiga lelaki dan empat wanita juga warganegara sama di restoran ala Thai berhampiran.
"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi ketiga, seorang wanita warga Thailand bertindak melarikan diri sejauh 50m ke dalam kawasan semak melalui pintu belakang kedai makan tetapi berjaya ditahan.
"Kemudian, kami menahan dua wanita warga Kemboja di tepi jalan Kampung Tanjung dan KM8, Jalan Kuala Nerang dipercayai dalam perjalanan untuk menjual tudung dari rumah ke rumah, manakala di lokasi terakhir, lima lelaki warga Myanmar ditahan ketika sedang leka bermain karom di dalam sebuah kedai runcit," katanya memetik BH Online.
Tambah beliau, pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan melanggar syarat pas diberikan dan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ujarnya, warga asing tersebut akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut.- Kedahnews.com