SEJAK kelahiran puteri sulung penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Isnin lalu, lebih 10 akaun Instagram (IG) palsu menggunakan nama sementara anak Siti iaitu Fatimah Az-Zahrah dan Baby CTDK diwujudkan.
Siti, 39, berkata, kesemua akaun itu bukan daripadanya atau suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa malah mereka juga tidak merancang untuk mewujudkan akaun laman sosial.
“Dalam perkara ini saya berharap peminat dan pengikut di IG ‘celik mata’ dan tahu semua akaun terbabit bukan dibuat daripada saya atau suami.
“Mereka mengambil gambar atau video daripada pelbagai sumber tetapi tidak meletakkan kredit. Ini satu perbuatan yang tidak berhemah.
“Mereka juga meletakkan nama saya dan suami dalam nama akaun sehingga membuatkan orang keliru sedangkan bukan daripada kami. Ingin dijelaskan saya tidak memutuskan apa-apa mengenai IG anak dan berharap agar anak tidak terlalu didedahkan apabila terlalu banyak akaun IG yang diwujudkan pihak lain,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Siti, dia bimbang jika ada pihak beranggapan apa sahaja yang dimuat naik di IG terbabit adalah daripadanya.
“Pasti ada pihak yang percaya dan saya tidak mahu bila berlaku sesuatu yang jelas bukan daripada kami, satu hari orang akan ingat itu adalah perbuatan kami.
“Perkara ini sudah berlaku atas nama saya yang mana banyak akaun media sosial menggunakan nama saya dengan pelbagai ‘posting’.
“Dalam masa sama, terdapat juga akaun Facebook yang menggunakan nama dengan menyamar jadi saya serta buat kapsyen seolah-olah lepas bersalin. Jadi tolong jangan percaya,” katanya.
Siti berkata, akaun rasmi IG miliknya adalah @ctdk dan FB pula Siti Nurhaliza. Kedua-duanya mempunyai tanda biru sebagai pengesahan ia milik Siti.
Ditanya mengenai permohonan maaf wanita menggunakan akaun FB Wann Arianna yang didakwa menyebarkan gambar anak Siti sejak kelmarin, Siti berharap ia jadi teladan kepada semua.
“Mengenai tindakan wanita berkenaan, saya berharap Ia jadi teladan kepada semua dan membuka mata bagaimana cara memegang amanah orang.
“Saya tidak mahu komen lanjut perkara ini kerana ia sudah berlaku. Semoga ia jadi pengajaran kepada dirinya dan semua pihak,” katanya.
Sumber: Metro