AMPANG - Suasana tenang menyelubungi galeri Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini apabila suami kepada aktres Izreen Azminda iaitu Ude melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Intan Liana Saleh pada pagi Khamis.
Ikatan perkahwinan selama lima tahun pasangan itu terlerai apabila Ude atau Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, melafazkan talak satu terhadap Intan, 33, pada pukul 9.50 pagi.
Lafaz dibuat Ude di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaluddin dan mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan Intan untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini.
Suasana dalam galeri sebelum itu pilu apabila Shaiful memerintahkan pasangan itu bermaaf-maafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami-isteri sebelum lafaz dibuat Ude.
Intan dilihat menitiskan air mata ketika bersalaman dengan Ude dan selepas lafaz cerai dibuat oleh pemuzik bebas itu.
Pada 30 November tahun lalu, Ude selaku plaintif kes berkenaan memfailkan permohohan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 terhadap Intan.
Dalam pada itu, ketika ditanya oleh Shaiful alasan Ude memohon bercerai, lelaki itu memberitahu mahkamah keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.
Ude yang hadir ke mahkamah pada pukul 9.04 pagi ditemani peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Md Zain manakala Intan turut hadir bersama keluarga dan peguamnya Suriany Awaludin.
Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, tiga tahun, serta Ariq Muqri, satu tahun.
Pada November lalu, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.
Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinannya terdahulu dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.
Sumber: Mstar Online