Isteri Mangsa Bot Dipercayai Karam Di Langkawi Yakin Suami Selamat


ALOR SETAR – Amat meruntun hati bagi isteri yang kehilangan suaminya tanpa sebarang khabar berita. 

Namun, bagi salah seorang isteri mangsa yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya dipercayai  karam di kawasan perairan Pulau Payar dekat Langkawi yakin bahawa suaminya Harif Fadelah Zainol, 58, masih hidup dan akan ditemui.

Asmah Husin, 45, berkata nalurinya sebagai orang yang paling dekat dengan mangsa kuat menyatakan akan selamat kerana sebelum ini kejadian sama pernah berlaku di kawasan yang sama sebelum diselamatkan nelayan lain yang melalui kawasan itu.

“Saya yakin suami saya masih hidup kerana dia jadi nelayan sejak kecil dan tahu selok-belok lautan dan pulau, saya rasa dia dan dua rakannya itu dihanyutkan hingga jauh ke Pulau Langkawi dan gagal dihubungi” katanya.

Asmah berkata kepada pemberita ketika ditemui di rumah neneknya di Jalan Telok Kechai, Kuala Kedah dekat sini semalam.

Apa yang diberitahu,  kali terakhir dia bertemu dengan suaminya adalah 7 Mac lepas sebelum suaminya ke Pulau Payar menerusi pangkalan Kuala Kedah.

“(Ketika itu) tak ada perubahan apa, cuma suami menghubungi saya petang itu supaya jaga diri elok-elok sebab nak ke laut dah, dan saya pun ucap selamat jalan kepadanya sebelum perhubungan kami terputus kemungkinan dia telah berada di tengah laut,” katanya.

Dirinya menyedari mangsa hilang setelah pemilik bot datang ke rumah mereka di Taman Sri Putra di sini pada Jumaat lepas untuk memaklumkan mengenai kehilangan bot itu sebelum membuat laporan polis.

“Saya cuba menghubunginya beberapa kali dan adik-beradik yang lain cuba mencari di rumah kawan-kawannya sekitar sini tetapi gagal, buat masa ini saya mampu berdoa dan berharap dia ditemui selamat,” katanya.

Sehubungan itu, Asmah sangat berharap agar pasukan penyelamat dapat membawa pulang suami serta dua rakan suaminya yang lain dengan selamat.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1 Langkawi Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata pihaknya menerima laporan pada 8.20 pagi, 15 Mac daripada pemilik bot itu bahawa bot itu tidak pulang ke pangkalan Kuala Kedah seperti dijadualkan iaitu pada 12 Mac sebelum pemilik bot itu membuat laporan polis.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dan diisertai Agensi Penguatkuasaan Martitim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sekitar Pulau Payar, Pulau Segantang dan di perairan Langkawi.- Kedahnews.com