SIK - Media asing diberi amaran supaya tidak menyiarkan berita palsu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, ia susulan rampasan sebuah kapal layar mewah yang didakwa milik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali, baru-baru ini.
“Kementerian telah kenal pasti beberapa portal berita dalam talian cuba menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan kapal layar mewah itu. Antara portal itu adalah Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan terbaharu MSNBC,” katanya, selepas pelancaran program NBOS-Negaraku: Menghubung Menyatu, di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda.
Hadir sama, Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan merangkap Adun Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.
Menurutnya, pihaknya percaya penyebaran berita palsu itu dibuat bagi menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kerajaan sedang berusaha untuk menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, sebaliknya beberapa isu pula disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara,” katanya.
Jailani berkata, penyebaran berita-berita palsu berkaitan 1MDB ini dikesan berlaku sejak minggu lalu.
“Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha pihak tertentu yang mempunyai agenda politik, yang cuba fitnah dan mencemar nama baik Perdana Menteri kita menjelang PRU14 tidak lama lagi,” katanya.
Menurutnya, Kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau perkara ini dan menasihatkan portal berkenaan segera menghentikan penyiaran berita palsu, terutama berhubung kes 1MDB.
“Hasil siasatan kes 1MDB telah dibuktikan bahawa dakwaan penyalahgunaan dan kehilangan wang tersebut tidak benar. Kes itu disiasat oleh pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
Sumber: Sinar Online