JKM Kulim Beri Pendedahan Awal Elak Kes Dera


ALOR SETAR - Kes dera yang berlaku dikalangan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan. Justeru itu, kesedaran berkenaan hak kanak-kanak perlu didedahkan sejak peringkat awal bagi mengelakkan peningkatan kes penderaan.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Kholib berkata, pendedahan tentang kanak-kanak perlu didedahkan dari bawah usia 18 tahun lagi agar mereka sedia maklum tentang hak mereka.

“Contohnya baru-baru ini seorang kanak-kanak meninggal akibat didera bapa sendiri, mungkin ini kerana mangsa ingat dia melakukan kesalahan jadi perlu terima hukuman.

“Tapi dia tak tahu hukuman atau denda sebagai pengajaran pun perlu ada batasannya,” katanya.

Beliau berkata pada Kempen Keselamatan Kanak-kanak Sahabat Bijak Selamat dan Melindungi di Pusat Aktiviti Kanak-kanak Kulim, di sini.

Bagi menjayakan usaha itu, JKM akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi menjalankan kempen membina hubungan dengan kanak-kanak supaya mereka tidak takut mengambil tindakan.

“Kita nak kanak-kanak ini menjadi sahabat kepada agensi kerajaan, supaya mereka terbiasa dan tidak segan untuk mengadu bila berada dalam situasi yang membahayakan mereka,” katanya kepada media.

Selain itu, Mohamad Zarir berkata, pada kempen tersebut lebih 100 pelajar sekolah rendah termasuk pelatih Rumah Amal yang mengikuti pendidikan khas terlibat. - Kedahnews.com