ALOR SETAR - Penduduk kawasan Kampung Lanai memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) agar menebang beberapa pokok tua di tepi jalan raya itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lanai, Ahmad Omar berkata, beliau melihat bahawa pokok itu wajar ditebang seperti saranan penduduk kerana berkemungkinan besar mampu membahayakan nyawa.
“Benda ni saya dah bawa ke Pejabat Daerah Baling, tetapi dimaklumkan perkara ini di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR). Saya harap masalah ini selesai secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kampung Lanai, Zulkifli Othman berkata, terdapat pokok tua seperti dua pokok setul, dua pokok mangga serta sebatang pokok kabu dan pokok belalang mamak yang hanya menunggu masa untuk tumbang dan dikhuatiri boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
“Sebelum ini sudah ada dahan-dahan pokok jatuh sampaikan penunggang motosikal berhenti mengejut hingga terjatuh.
“Sebelum berlaku kematian, kita minta pihak berwajib segera tebang pokok-pokok ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, Zulkifli menjelaskan bahawa surat berkaitan telah diserahkan kepada pejabat penghulu pada 28 Oktober lalu, namun hingga kini tiada tindakan menyebabkan mereka melaporkan kepada Pejabat Daerah Baling.
“Jawapan kami terima, peruntukan tak ada sebab hujung tahun. Jadi sekarang dah awal tahun kami harap ada peruntukan dan pokok dapat ditebang,” katanya.
Penduduk, Yahya Abdullah, 60, berkata, nyawa pengguna terutamanya kaum ibu dan pelajar sekolah terancam selagi pokok-pokok itu tidak ditebang.
“Keselamatan pengguna terutama golongan ibu yang ulang-alik hantar anak pi sekolah dan pelajar dalam bahaya.
“Kalau tak boleh tebang pokok, tebang dahan pun jadilah,” katanya. - Kedahnews.com