Kakitangan Hotel Dari Bedong Bimbang Nama Disenarai Hitam


ALOR SETAR – Seorang kakitangan sebuah hotel di Bedong di sini yang mendakwa ditipu seorang jurujual kereta dan berharap kejadian yang berlarutan kira-kira tiga tahun lalu itu dapat diselesaikan segera bagi mengelak namanya disenarai hitam oleh pihak bank.

Mangsa dikenali sebagai Rohana @ Rosniza Jamaluddin, 41, berkata, dia kerugian RM7,450 selepas kereta Proton Wira yang dibelinya ditarik pihak bank gara-gara didakwa gagal menjelaskan ansuran bulan.

“Pada awal 2015, saya membeli sebuah kereta terpakai jenis Proton Wira daripada seorang jurujual di Baling. Saya dan suami bersetuju membeli kereta tersebut pada harga RM13,000 serta membayar RM5,000 tunai sebagai tanda jadi.

“Kami juga telah bersetuju membayar baki kereta itu sebanyak RM8,000 secara ansuran dengan memasukkan duit sebanyak RM350 ke akaun jurujual tersebut,” katanya memetik Utusan Online, pada Jumaat.

Menurut Rohana, dia mula mengesyaki jurujual itu bersikap tidak jujur apabila lelaki berkenaan enggan menyediakan dokumen perjanjian lengkap sebaliknya meminta dia menandatangi sekeping surat jual beli hanya ditulis tangan.

“Disebabkan yakin dengan kata-kata jurujual tersebut, saya menandatangi surat itu dan membuat bayaran ansuran bulanan seperti dijanjikan sebanyak tujuh kali dengan jumlah RM2,450 sebelum kereta Proton Wira berkenaan ditarik oleh pihak bank.

“Kereta itu ditarik oleh pihak bank selepas saya dikatakan gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan. Saya cuba mengesan jurujual berkenaan namun gagal kerana lelaki itu telah berhenti kerja,” ujarnya.

Rohana memberitahu, satu laporan polis dibuat pada Julai 2015 namun sehingga kini, pihaknya masih belum menerima perkembangan mengenai kes tersebut malah dia percaya lelaki terbabit masih bebas. 

Dia berharap kes tersebut dapat diselesaikan segara kerana bimbang namanya akan disenarai hitam daripada membuat pinjaman kerana sehingga kini, tunggakan sebanyak RM2,450 masih belum dijelaskan kepada pihak bank. - Kedahnews.com