SEREMBAN - Pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Noor Hazrul Mustafa mengakui kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan itu mara ke pusingan ketiga Piala FA musim ini, selepas tewas 1-0 di tangan Kedah, dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat lalu.
Tonggak berpengalaman berusia 29 tahun itu berkata, pencapaian kali ini mengecewakan berbanding musim lalu di mana Negeri Sembilan berjaya mara ke pusingan separuh akhir saingan kalah mati itu, sebelum tunduk kepada Pahang.
"Kali ini tuah nyata tidak menyebelahi pasukan Negeri Sembilan kerana selepas berusaha keras mengheret perlawanan hingga ke masa tambahan, gol tunggal Baddrol Bakhtiar pada minit ke-119 memberi kemenangan buat skuad Helang Merah.
"Memang rasa kecewa kerana tidak dapat layak ke pusingan ketiga Piala FA, berbanding musim lalu kami berjaya ke peringkat separuh akhir. Apa pun kami akur dengan kehebatan Kedah dan sememangnya mereka memiliki kelebihan.
"Secara peribadi, saya bangga dengan rakan-rakan kerana memberikan kerjasama dan komitmen tinggi sepanjang perlawanan itu, malah amat berterima kasih kepada penyokong yang turut hadir memberikan sokongan," katanya di sini, hari ini.
Bekas pemain Kelantan yang mesra dipanggil Ooi itu berkata, kegagalan itu tetap memberi pengajaran kepada dia dan rakan sepasukan supaya bekerja lebih keras dalam memburu pencapaian terbaik pada saingan Liga Super.
Noor Hazrul yang memasuki musim kedua bersama skuad berkenaan berkata, cabaran seterusnya ialah bertemu Pahang pada aksi liga di Stadium Darul Makmur, 10 Mac ini.
Menurutnya, Negeri Sembilan perlu mencapai kemenangan pada perlawanan itu nanti bagi membolehkan kedudukan dalam carta liga di tangga kedua tercorot ketika ini dapat diperbaiki.
"Kami perlu mengekalkan persembahan terbaik dan semangat juang tinggi seperti dipamerkan ketika menentang Kedah tempohari, bagi menjamin kemenangan ke atas Pahang.
"Tambahan pula, Pahang antara pencabar terkuat musim ini dan beraksi di Stadium Darul Makmur, bukan suatu tugas mudah bagi kami untuk menewaskan mereka.
"Apa pun, saya yakin dengan kehadiran ketua jurulatih baharu Mohd Azraai Khor Abdullah, persembahan pasukan akan lebih meyakinkan dalam usaha kami meneruskan saingan dalam liga dan seterusnya memastikan kejayaan pasukan musim ini," katanya.
Sumber: BH Online