'Kalau 24 Wakil Sokong, Saya Kekal'


KUALA LUMPUR - Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan untuk terus menerajui badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu jika terus mendapat sokongan wakil 24 pasukan pada pemilihan di Kongres Tahunan FMLLP pada 25 Mac depan.

Selain itu, Tunku Ismail mahu menghormati kepercayaan penaja yang mungkin hilang kepercayaan ke atas pelaburan mereka andai pertukaran teraju kepimpinan dalam FMLLP berlaku.

“Tetapi, kemungkinan (saya) akan terus kekal di FMLLP kerana ada sebilangan penaja yang mahukan hanya saya yang terus mentadbir kewangan liga,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook, Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail yang menyuarakan pendirian itu ketika sesi santai bersama penyokong di JDT Cafe, baru-baru ini, turut bimbang nasib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andai beliau membuat keputusan mengundurkan diri sebagai Presiden.

“Saya akan keluar daripada FAM..hanya bila…selepas saya membantu pasukan dalam negara dapat sumber kewangan mereka. Saya bekerja sekarang untuk memperjuangkan hak-hak penyiaran dan mengembalikan keyakinan penaja untuk membantu.

“Apa yang merisaukan jika saya keluar nanti adalah nasib bola sepak tempatan kita. Akan kembali kepada masalah dulu. Sebelum saya masuk FAM,” katanya.

Dalam laporan Sukan NSTP sebelum ini, Tunku Ismail dikatakan masih menjadi calon pilihan untuk kekal menerajui FMLLP meskipun pemilihan baru bakal dilakukan pada 25 Mac depan selepas penggubalan perlembagaan diluluskan.

Sumber: MyMetro