'Kalau Bagus, Duit Datang Cari Kita'


KUALA LUMPUR - Barisan pemain dan jurulatih memberi sokongan penuh terhadap keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu mewujudkan peraturan baru bagi membanteras kegiatan mengatur perlawanan di peringkat kebangsaan.

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata BAM mengambil langkah tepat kerana kegiatan tidak bermoral itu akan merosakkan imej sukan badminton negara jika tidak diperangi habis-habisan.

"Saya memang setuju dengan tindakan BAM kerana kegiatan mengatur perlawanan ini sesuatu yang perlu dibendung dan ianya merosakkan imej sukan badminton.

"Tidak dinafikan wang memang penting tetapi ia perlu datang daripada jalan yang betul dan bukannya dengan cara mengatur perlawanan.

"Kita perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan. Jika kita bagus, kita tidak perlu susah-susah cari duit sebaliknya duit yang akan cari kita. Penaja akan datang untuk menaja kita," kata pemain nombor dua dunia itu.

Semalam, selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM memaklumkan bahawa mereka akan mewujudkan satu peraturan baru bagi membanteras kegiatan mengatur perlawanan dalam kalangan pemain negara yang boleh membawa kepada hukuman digantung seumur hidup jika didapati bersalah.

Ahli Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin BAM, Jadadish Chandra, berkata pihaknya akan membentangkan cadangan peraturan baru itu untuk mendapat kelulusan ahli majlis badan induk, sekali gus akan diguna pakai di peringkat kebangsaan.

Ia susulan selepas sukan badminton negara dikejutkan dengan dua pemain profesional Malaysia digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata, lebih elok jika hukuman maksimum dikenakan ke atas pemain yang didapati bersalah iaitu gantung seumur hidup.

"Ia bagi memberi pengajaran kepada pemain untuk tidak terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan. Macam kami yang berada di bawah naungan BAM, kami disediakan tempat tinggal, makan, minum dan elaun, jadi tidak ada alasan untuk pemain terbabit dengan kegiatan seperti ini," kata Iskandar yang muncul juara kebangsaan 2018, kelmarin.

Jurulatih beregu lelaki negara, Rosman Razak turut bersetuju dengan cadangan badan induk itu dan menyifatkan tindakan BAM sangat proaktif bagi mencegah kegiatan mengatur perlawanan daripada terus menular dalam kalangan pemain negara.

"BAM mengambil tindakan yang cukup pantas, memang sepatutnya begitu (ada peraturan ketat mengenai kegiatan mengatur perlawanan). Pemain seharusnya sedar dengan tanggungjawab mereka.

"Mereka perlu tahu apa akibatnya jika terbabit dengan kegiatan tidak bermoral ini. Risikonya cukup tinggi dan boleh memusnahkan kerjaya mereka," kata Rosman.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob juga bersetuju dan menegaskan, pemain seharusnya memegang prinsip yang mana duit akan datang mencari mereka jika mereka mempamerkan prestasi baik.

Sumber: BH Online