KUALA LUMPUR: Selepas lebih 10 tahun menduda, aktor, Aman Graseka, 51, memilih model dan pelakon baharu, Reena Areena, 29, sebagai suri hidup.
Hampir setahun menyulam cinta, dengan disaksikan keluarga dan sanak-saudara, pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis ringkas di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah, pada jam 11 pagi, kelmarin.
Foto pernikahan pasangan mempelai itu dimuat naik di laman Facebook oleh rakan-rakan yang menghadiri majlis berkenaan.
Memberitahu BH Online, Reena menjelaskan bukan niat mereka menyembunyikan hari bahagia, sebaliknya hanya melaksanakan perkara wajib iaitu akad nikah.
"Kami tidak nikah sorok-sorok, sebaliknya hanya membuat kenduri kecil-kecilan. Majlis akad nikah dan persandingan hanya dihadiri ahli keluarga dan teman terdekat.
"Bagaimanapun, kami merancang mengadakan majlis resepsi untuk keluarga dan kenalan, tidak lama lagi," katanya.
Tambah Reena, dia dan suami tidak merancang mengadakan majlis pernikahan secara besar-besaran. Malah, perancangan berkahwin diatur secara mengejut.
"Alhamdulillah, kami selamat bergelar suami isteri. Kami tidak bertunang sebaliknya terus bernikah, semalam.
"Saya percaya perkara yang baik harus dipercepatkan. Jika bertunang lama-lama bimbang dikebas orang," katanya.
Reena memberitahu, suaminya bergegas ke Melaka, sejurus majlis akad nikah dan persandingan.
"Ini kerana suami terikat dengan penggambaran sebuah drama di Melaka. Sebaik selesai majlis, suami meminta izin daripada ibu bapa saya untuk bertolak ke Melaka.
"Kami tidak berkecil hati kerana faham suami ada tanggungjawab pada kerja. Selepas menyiapkan kerja, barulah kami fikir soal berbulan madu," katanya.
Reena berkata, dia berkenalan dengan Aman ketika mereka menjalani penggambaran drama bersiri, Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production di Perlis, tahun lalu.
"Perbezaan usia 22 tahun tidak menghalang cinta kami. Saya jatuh hati dengan sikap penyayang dan romantik suami," katanya.
Aman yang mencipta populariti menerusi filem Cinta Kita pada 1995 pernah berkahwin dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu pada 1997.
Namun, perkahwinan mereka hanya bertahan selama 10 tahun dengan dikurniakan seorang cahaya mata, Nurdayini Ashiqah yang ketika ini berusia 20 tahun.
Sumber: BH