LABIS – Ketika rakan-rakan seusianya sedang bergembira menempuh sesi persekolahan, seorang kanak-kanak perempuan di Taman Damai Jaya 2, Chaah di sini, terpaksa melupakan seketika semua itu apabila dia disahkan menghidap penyakit leukemia.
Lebih memilukan, penyakit yang ditanggung oleh calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali itu akan menyebabkan dia terpaksa bercuti panjang untuk menjalani rawatan.
Bapa kanak-kanak tersebut, Abdul Shukor Ahmad, 42, berkata, anak ketiganya, Julita Maisarah, 12, mula dikesan menghidap penyakit tersebut pada awal Februari lalu selepas mengadu sakit perut berpanjangan.
“Selepas dia sering mengadu sakit perut, saya bawa ke Klinik Kesihatan Chaah dan awalnya doktor mengesyaki anak saya menghidap penyakit kencing tikus kerana limpanya bengkak.
“Doktor di klinik kesihatan kemudian meminta saya membawa Julita ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut kerana keadaannya yang begitu lemah dan muntah berpanjangan ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Shukor berkata, sewaktu di Hospital Segamat, anaknya terpaksa menjalani ujian darah sebanyak dua kali dan hasil pemeriksaan mendapati sel darah putih anaknya terlalu banyak.
Katanya, doktor kemudian memberitahu dia dan isterinya, Wan Sariah Abdullah, 38, bahawa anaknya itu disyaki menghidap leukemia dan terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
“Sewaktu di HSI, anak saya terpaksa ditidurkan selama empat hari kerana bilangan sel darah putihnya meningkat manakala sel darah merahnya hanya tinggal tiga dan saya dan isteri hanya mampu berdoa sahaja ketika itu.
“Doktor kata, sekiranya bacaan sel darah putih terus meningkat, keadaan ini akan membahayakan nyawa anak saya kerana takut salur darah pada otak anak saya pecah atau buah pinggangnya rosak,” katanya.
Abdul Shukor berkata, selama lapan hari di HSI, anaknya menunjukkan perkembangan yang baik selain sudah menjalani tiga sesi rawatan kemoterapi selain perlu melengkapkan beberapa kitaran kemoterapi pada masa akan datang.
Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pegawai bank berkata, anaknya juga perlu menjalani lapan sesi kemoterapi setiap bulan iaitu empat kali di HSI dan selebihnya di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
“Setakat ini, keadaan kesihatannya beransur baik dan kami terpaksa menjaga pemakanannya namun Julita yang sebelum ini periang bertukar menjadi pendiam dan doktor menasihatkannya agar bercuti sehingga dua tahun bagi memastikannya betul-betul pulih.
“Sekiranya keadaannya bertambah sihat, dia mungkin akan menduduki UPSR di sekolah, dan jika keadaan sebaliknya, mungkin dia terpaksa mengambil ujian ini di hospital atau tidak mengambilnya,” katanya.
Menurutnya, dia juga beruntung kerana ramai pihak yang tampil memberi sokongan kepada keluarganya termasuk rakan-rakan sekolah dan guru-guru anaknya dan berharap keadaan kesihatan anaknya kembali pulih seperti sediakala.
Sumber: Suara TV