Kanak-Kanak Maut Selepas Disambar Buaya Di Miri


MIRI – Niat memancing serta mandi bersama rakan untuk mengisi masa lapang semasa cuti sekolah berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki mati lemas selepas dipercayai disambar seekor buaya di sebuah sungai di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bomba Lopeng, Terry Robson Forante Nyangau berkata, mangsa Mohd Fairus Muhamad Dais, 8, telah mandi selepas memancing bersama empat rakan lain dalam kejadian jam 4.30 petang di Jalan Mulia 5C, Tudan.

“Mengikut ceritanya rakan mangsa, ketika kejadian, mangsa sedang mandi di sungai apabila tiba-tiba badan mangsa ditarik oleh seekor haiwan dipercayai buaya,” katanya kepada Bernama malam semalam.

Terry berkata, mangsa berjaya ditemukan oleh anggota bomba di lokasi kejadian pada jam 6.45 petang dengan kesan gigitan dijumpai di kaki kanan mangsa.

Ketua Polis Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan turut mengesahkan ada kesan gigitan di bahagian betis kanan mangsa. – Bernama