Karya Aziz M Osman Raih Pengiktirafan Antarabangsa


KUALA LUMPUR - Pengarah Aziz M Osman berharap, kemenangan drama arahannya, Anak Merdeka pada Norway Tamil Film Festival (NTFF) di Oslo, Norway, baru-baru ini, membakar semangat penerbit tempatan menghasilkan lebih banyak karya berlatarkan sejarah dan kenegaraan.

Memenangi kategori Filem Kesedaran Sosial Terbaik, Aziz berkata, biarpun penonton lebih cenderung meminati drama ringan, penerbit tidak seharusnya patah semangat menghasilkan karya yang akan menjadi khazanah dan rujukan pada masa depan.

"Saya akui, Anak Merdeka kurang mendapat sambutan ketika ditayangkan tahun lalu. Tetapi, kejayaan ini diharap menjadi titik tolak kepada penerbit untuk lebih bersemangat menghasilkan drama berkisar kenegaraan.

"Saya tidak salahkan penonton yang lebih meminati karya ringan, tetapi sebagai karyawan, kita tidak seharusnya berputus asa. Dengan pengiktirafan ini, saya harap Anak Merdeka akan menjadi rujukan kepada mereka yang meminati karya seperti ini," katanya.

Aziz juga menyifatkan, kejayaan itu bukan miliknya secara peribadi, sebaliknya turut berterima kasih kepada seluruh produksi yang merealisasikan pembikinan Anak Merdeka.

Drama enam episod yang menampilkan enam pengarah berbeza itu diterbitkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun lalu. Aziz menghasilkan karya bagi episod pertama, berlatarkan era 1950-an dan penggambaran dijalankan sepenuhnya di Pinewood Studio, Johor.

Aziz berkata, dia berpuas hati kerana karya itu dihasilkan bukan semata-mata untuk mengejar keuntungan, sebaliknya juga sebagai tanggungjawab sosial.

"Penerbit perlu berani menghasilkan drama yang mempunyai kualiti setaraf filem. Anak Merdeka adalah karya paling mahal pernah saya arahkan dan saya harap usaha itu tidak terhenti hanya di sini.

"Peluang seperti ini tidak selalu datang, mungkin juga hanya sekali seumur hidup. Namun, saya berharap akan ada pihak yang sudi membuat pelaburan menerbitkan karya kenegaraan yang berkualiti," katanya.

Selain Aziz, Anak Merdeka turut menampilkan sentuhan empat pengarah lain iaitu Kabir Bhatia, Bernard Chauly, Matt Lai dan Shamyl Othman. Drama itu dibintangi Remy Ishak, Elvis Chin dan Thanuja Ananthan.

Sumber: BH Online