PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang masih menyebar fitnah berhubung isu penyelewengan dana RM100 juta di kementerian itu terutama selepas Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar 2018 diluluskan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sedar mana-mana pihak akan terus 'kitar semula' isu berkenaan pada masa depan sekiranya tiada undang-undang khusus untuk mengekang aktiviti berkenaan.
"Jika tiada undang-undang khusus bagi mengekang penyebaran berita palsu, pihak yang tidak bertanggungjawab akan terus mengulangi isu berkenaan.
"Selepas ini, kalau masih ada pihak yang berbuat demikian, anda akan lihat dan tanggung akibatnya," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di sini, semalm.
Katanya, beliau bukan mahu lari daripada sebarang kritikan, namun jika sesuatu perkara itu disebarkan secara tidak tepat dan benar, ia boleh dianggap berita palsu.
"Kalau anda cakap KJ bukan seorang menteri yang bagus, itu bukan berita palsu, sebaliknya ia adalah satu pandangan," katanya.
Beliau berkata, Kabinet juga percaya Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar 2018 perlu bagi mengekang penyebaran berita palsu di negara ini.
Menurutnya, berita palsu bukan hanya menimbulkan masalah kepada kerajaan, malah turut memberi kesan kepada individu dan syarikat.
"Mereka yang terpalit dengan berita palsu boleh menyebabkan reputasi musnah dengan mudah," katanya.
Katanya, Malaysia bukanlah satu-satu negara yang memperkenalkan undang-undang sedemikian, sebaliknya Jerman sudah melaksanakannya dan Perancis juga sedang mempertimbangkan untuk melakukan perkara sama.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Berita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Mengikut Fasal 4(1), RUU berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan membuat atau menyebarkan berita tidak benar.
Undang-undang yang dicadangkan itu bukan sahaja terpakai kepada rakyat Malaysia, tetapi juga warga asing jika berita tidak benar disebarkan itu adalah mengenai Malaysia atau menyentuh rakyat negara ini, tanpa mengira di mana lokasi ia dibuat atau disebarkan.
Mengikut Fasal 2 dalam RUU itu, berita tidak benar ditakrifkan sebagai apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau keseluruhannya palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.
Sumber: BH Online