Kedah Catat Peningkatan Dalam STPM


ALOR SETAR - Negeri Kedah mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 2.85 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 yang diumumkan semalam.

Jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.08 berbanding tahun 2016 iaitu 2.77.

Menurut Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan berkata, jumlah calon yang lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran turut bertambah sebanyak 0.47 peratus, iaitu daripada 98.90 peratus pada STPM 2016 menjadi 99.37 peratus pada STPM 2017.

“Sebanyak 44 daripada 60 sekolah di negeri ini mencapai kelulusan penuh 100 peratus.

“Daripada jumlah itu, 18 buah sekolah itu dikategorikan sebagai luar bandar dan 26 sekolah dari kategori bandar,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM tahun 2017 peringkat negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra di sini, semalam.

Jelasnya, terdapat penurunan dari segi jumlah pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu 44 orang bagi tahun 2017 berbanding 46 pelajar bagi 2016.

Sementara itu, SMK Jitra turut mencatat kenangan manis apabila menerima Anugerah Sekolah Terbaik STPM 2017 Peringkat negeri Kedah dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 3.23.

Bagi Penolong Kanan Tingkatan Enam sekolah berkenaan, Pawziah Adri merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbiran sekolah dan PIBG.

“Saya sangat bersyukur dengan kurniaan ALLAH SWT kepada warga sekolah ini.

“Kami mengamalkan suasana kerja yang menyeronokkan dan fokus kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PDP).

“Pastikan pelajar sentiasa hadir ke sekolah dan apabila kita fokus dalam kelas, kita tak perlu adakan program lain terlalu banyak,” katanya memetik Sinar Online. - Kedahnews.com