Keluarga Anak Autisme Tetap Pindah, Tak Kira 'Dihalau' Atau Tidak


PETALING JAYA - Sama ada dihalau atau tidak ia kini bukan lagi menjadi isu, kerana keluarga yang sebelum ini mendakwa 'dihalau' kerana mempunyai anak autisme nekad untuk ‘angkat kaki’ dari rumah yang didiami mereka sejak lima tahun lalu. 

Kisah itu bermula apabila seorang wanita membuat luahan di Facebook, mendakwa kerenah dua anaknya dianggap sebagai gangguan oleh jiran berdekatan, menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan rakan-rakan di media sosial mencari rumah sewa yang sesuai.

Posting tersebut tular dan mendapat perhatian masyarakat setempat, termasuklah beberapa organisasi berkaitan.

Wakil kumpulan Facebook Kuala Terengganu Residen (Kuterer), Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata, dia bersama beberapa wakil mengadakan pertemuan dengan keluarga itu pada petang Rabu berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, dia yang juga wakil gerakan Komuniti Autisme Terengganu memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mencari rumah baharu yang sesuai untuk didiami keluarga berkenaan.

"Demi keselesaan mereka sekeluarga, kami berpandangan adalah lebih baik berpindah bagi mengelakkan perselisihan faham antara keluarga dan adik-beradik berpanjangan.

“Kami juga hendak pastikan mereka sekeluarga tidak akan berdepan masalah yang sama di rumah baharu. Misalnya kalau anak mereka menangis atau meragam, adakah jiran-jiran marah atau berasa terganggu,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.


Pada Rabu, mStar Online melaporkan suami kepada wanita yang membuat posting tular itu menjelaskan situasi ‘dihalau’ yang dimaksudkan oleh isterinya sebenarnya tercetus akibat perselisihan faham secara dalaman.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 41, mengakui merancang untuk berpindah rumah berikutan masalah itu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana masalah kewangan, dengan pendapatan kasarnya hanya kira-kira RM1,500 sebulan. 

Engku Mohd Hairulnizam berkata, pihaknya bersama Kamal pada pagi Khamis telah membuat permohonan bantuan dari segi penempatan rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sejak posting isteri Kamal tular, katanya, ramai yang turut prihatin dan menghulurkan bantuan serta cadangan berhubung hasrat mereka sekeluarga untuk berpindah.

“Kami dah jumpa rumah yang sesuai di kawasan Paluh, Kuala Terengganu dengan kadar sewa RM350 sebulan. Tuan rumah tak ada masalah untuk mereka masuk dahulu tanpa deposit. 

“Lagipun kami akan usahakan untuk deposit itu nanti. Yang penting mereka dapat masuk rumah dahulu,” katanya sambil menambah bahawa pembayaran sewa bulanan akan dibantu oleh Maidam sekiranya permohonan bantuan diluluskan.

Sekiranya mendapat persetujuan bersama, jelasnya, wakil Kuterer dan Autisme Malaysia Terengganu akan membantu keluarga Kamal berpindah dan melakukan gotong-royong pembersihan di lokasi baharu.

Engku Mohd Hairulnizam berkata, keluarga Kamal juga akan dibantu dari segi nasihat dan panduan mengenai bagaimana untuk menangani anak-anak autisme.

Jelasnya, kesedaran rakyat Malaysia secara umum mengenai autisme masih di tahap rendah, menyebabkan masyarakat terutama mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga menghidapnya bimbang melakukan sesuatu yang tidak diketahui mereka.

“Kita mempunyai pelbagai program kesedaran dan aktiviti kumpulan sokongan ibu bapa, dan keluarga Kamal dijemput menyertainya, dalam membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih lancar selepas ini,” katanya mengenai dua anak Kamal iaitu Rayyan, 5, yang menghidap autisme dan Raisya, 4, yang ketika ini dalam pemantauan doktor berkemungkinan turut sama menghidapnya.

Sumber: Mstar Online