Keluarga Di Pendang Berlari Tadah Air Hujan


PENDANG - Sebuah keluarga dari Kampung Bendang Bukit terpaksa menadah air hujan dengan besen disebabkan bumbung rumah mereka yang sudah usang dan bocor.

Nor Fatin Zain, 25, berkata, jika dia tidak melakukan sebegitu, lantai rumah akan dipenuhi air.

Katanya, rumah pusaka milik nenek yang didiami kian usang dan bumbung bocor di sana sini, malah bahagian papan rumah pula semakin mereput dimakan anai-anai.

“Jika ribut, saya dan anak-anak terpaksa berteduh di rumah ayah, kerana rumah kami bergoyang, risau kalau roboh. Mujur rumah ayah terletak di sebelah rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Nor Fatin berkata, suaminya, Mohd Azhan Che Su, 32, hanya menoreh getah bagi menanggung keperluan keluarga.

Pasangan yang mempunyai lima anak berusia 11 bulan hingga sembilan tahun ini hanya mengharapkan pendapatan menoreh.

“Suami saya hanya menoreh getah dan saya pula tak boleh nak kerja sebab anak masih kecil.

“Macam mana kami nak baiki rumah yang semakin usang sebab nak makan pun kadang kala tak cukup.

“Ayah saya lah yang banyak membantu, kadang dia ada hulur duit untuk keperluan kami sekeluarga.

“Saya rasa malu dengan ayah sebab kesian juga ayah pun masih perlu menanggung dua lagi adik beradik saya,” katanya.

Nor Fatin berkata, dua anaknya memiliki kad orang kurang upaya kategori masalah pembelajaran.

“Saya hantar juga depa pi sekolah di Pusat Pendidikan Khas dan depa ada dapat bantuan RM150 seorang.

“Lepas la habuan depa berdua kalau nak beli baju sekolah ka apa ka, alhamdulillah memang cukup.

“Saya sekarang cuma nak bantuan atap sahaja supaya bila hujan saya dah tak perlu nak berlari sana sini letak besen, dan angkut anak-anak ke rumah ayah lagi,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini untuk membaiki atap rumah boleh berhubung di talian 013-4667473.

Sumber: Sinar