Kemampuan Kemudi Ekonomi Negara Dapat Perhatian Agong


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas usaha membangunkan Malaysia melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk di bidang ekonomi.

Seri Paduka bertitah pembangunan dan kemajuan negara berjalan dengan baik dan hasilnya dinikmati rakyat susulan komitmen dan sumbangan semua pihak dalam menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara.

“Terima kasih kepada kerajaan perdana menteri yang menggembleng tenaga bagi membangunkan negara Malaysia yang tercinta,” titah Seri Paduka pada istiadat pembukaan Penggal Keenam, Parlimen ke-13 di sini semalam.

Kemampuan kerajaan pimpinan Najib mengemudi urusan ekonomi negara mendapat perhatian khusus Seri Paduka.

“Beta bersyukur walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, namun kerajaan kekal fokus serta dan komited melaksanakan dasar-dasar transformasi fiskal serta pengurusan ekonomi dan kewangan negara secara berhemat,” titah Sultan Muhammad V.

Seri Paduka seterusnya bertitah bahawa kewangan kerajaan juga dijangka akan lebih kukuh, disumbang oleh kutipan hasil lebih tinggi, pertumbuhan perbelanjaan yang sederhana dan defisit fiskal yang disasarkan terus berkurangan.

“Rizab antarabangsa pula kekal kukuh manakala hutang kerajaan persekutuan terurus dan terkawal,” titah Seri Paduka.

Masih mengenai soal ekonomi negara, Yang di-Pertuan Agong bertitah perdagangan luar Malaysia dijangka kekal berdaya tahan selaras dengan aktiviti perdagangan global yang semakin meningkat.

“Negara juga masih kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan dan dijangka dapat menarik pelaburan lebih tinggi pada 2018. Diharapkan momentum prestasi positif ini dapat dikekalkan,” titah Seri Paduka.

Demi masa depan, titah Sultan Muhammad V, negara hendaklah terus mempertingkatkan usaha kerana mengekalkan kejayaan adalah lebih sukar daripada mencapainya.

“Justeru, beta menyeru semua program dan projek yang dirancang dilaksanakan dengan mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi negara,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut mengalu-alukan langkah berterusan kerajaan menangani isu-isu yang dekat di hati rakyat melalui pelbagai inisiatif terutama berhubung kos sara hidup dan percaya lebih banyak inisiatif akan diperkenal melalui penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

“Kerajaan beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesejahteraan mereka,” titah Seri Paduka sambil menambah subsidi dan bantuan bersasar akan terus disediakan kepada golongan yang memerlukan. - Bernama