Kematian Pegawai Perhilitan Di Sik Tiada Unsur Jenayah


ALOR SETAR - Kematian Pegawai Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sik yang ditemui terapung di tepi Tasik Beris semalam dikatakan tidak berunsurkan jenayah.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, hasil daripada siasatan mendapati mangsa maut selepas dipercayai terjatuh di tengah jambatan.

Pihak polis mendedahkan bahawa pemeriksaan terhadap fizikal Muhammad Nuraiman Hambali Shahibul,19, tiada menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

"Dompet berisi wang tunai RM40, kad pengenalan, lesen memandu serta kad CIMB kepunyaan mangsa turut ditemui dalam kereta Perodua Bezza miliknya yang tidak berkunci.

"Pemeriksaan di tengah-tengah jambatan juga menjumpai sepasang selipar dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung dipercayai milik mangsa," katanya.

Apa yang difahamkan oleh rakan sekerja, mangsa merupakan seorang pekerja baharu di Jabatan Perhilitan Sik dan diberitahu bahawa mangsa tidak mempunyai sebarang musuh.

Terdahulu, mangsa dikatakan gagal untuk menghadirkan diri ke pejabat pada 4 Mac lalu dan dikhabarkan bahawa mangsa mahu ke Alor Setar untuk membeli keperluan masuk hutan sehari sebelumnya.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat  dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan keluarga si mati telah dimaklumkan supaya hadir ke hospital untuk pengecaman," katanya. - Kedahnews.com