SERDANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang meneruskan Kempen Masa Tanpa Gajet tahun ini bagi menggalakkan jalinan hubungan sesama masyarakat khususnya golongan muda dan institusi keluarga.
Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kempen itu akan diadakan semasa sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia pada November ini dengan diterajui oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
KPWKM memperkenalkan Kempen Masa Tanpa Gajet pada tahun lepas dengan menggalakkan orang ramai ‘melupakan’ seketika gajet masing-masing ketika di meja makan terutamanya apabila makan bersama anggota keluarga.
Rohani berkata kempen itu perlu diteruskan tahun ini kerana kajian LPPKN mendapati sebanyak 78 peratus ibu bapa membenarkan anak mereka memiliki dan menggunakan gajet dengan 3.7 peratus daripada mereka tidak memantau penggunaan gajet anak masing-masing.
“Biarpun Malaysia sudah maju, teknologi tidak harus mengawal cara masyarakat Malaysia hidup berkeluarga,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 650 petugas KPWKM, jabatan dan agensi di bawahnya di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, pada Selasa.
Rohani berkata ketika Kempen Masa Tanpa Gajet, anggota keluarga digalakkan mengetepikan gajet masing-masing untuk menghabiskan waktu berkualiti bersama keluarga sama ada semasa makan bersama atau melayan anak kecil bermain.
“Cadangan mewujudkan Masa Tanpa Gajet bertujuan mendidik generasi muda pada hari ini mengenai perlunya berkomunikasi secara lisan, menggunakan bahasa tubuh dan eye-contact.
“KPWKM tidak mahu generasi baharu tidak faham tentang hubungan sesama insan,” katanya. – Bernama