Kenaikan Bantuan Khas Bukan ‘Gula-Gula’ PRU14


ALOR SETAR – Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kenaikan bantuan khas pesawah di seluruh negara bukanlah ‘gula-gula’ untuk menarik perhatian rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebaliknya ia adalah komitmen kerajaan membantu golongan pesawah yang sememangnya banyak berjasa dalam menyumbang kepada kadar pengeluaran padi di negara ini kerana beras merupakan bekalan makanan utama rakyat.

“Bukanlah kita nak ‘gula-gula’ dengan janji-janji tapi memang hasrat perdana menteri supaya rakyat bersama dengan kerajaan…ini kerana perdana menteri sebut kita tau (tahu) bila mai (datang) banjir yang rugi petani-petani, bukan disengajakan tetapi ini dugaan.

“Jadi kerajaan tahu kerugian dihadapi petani, bila mai penyakit juga petani alami kekurangan pendapatan sebab tanaman musnah apabila berlaku serangan penyakit, itu pun kerajaan tengok, jadi sebab itu kerajaan rasa perlu diberikan bantuan kepada pesawah,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Muafakat yang juga jualan sentuhan rakyat di kawasan letak kereta di Wisma Darulaman di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Perdana menteri membuat pengumuman itu ketika berucap melancarkan bantuan khas pesawah peringkat kebangsaan di Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Korok, Alor Biak di Jerlun semalam.

Bantuan khas berbentuk wang tunai RM200 sebulan selama tiga bulan dan sekali bayar itu akan diberi kepada pesawah di seluruh negara sebagai usaha kerajaan meringankan beban kewangan pesawah sementara menunggu hasil tuaian masing-masing. – Bernama