BIAR lewat, jangan tidak sampai langsung? Tidak pasti sama ada ungkapan itu boleh diterima pakai atau tidak apabila seseorang pekerja memberi alasan lewat ke tempat kerja, namun ia adakalanya tetap digunakan.
Satu kaji selidik oleh sebuah perkhidmatan sumber manusia CareerBuilder yang berpangkalan di Amerika Syarikat mendapati terdapat persamaan alasan yang diberikan oleh pekerja apabila mereka lewat ke tempat kerja.
Dan kebanyakkannya memang pernah anda dengar!
Antaranya, lebih separuh mengatakan masalah kesesakan trafik (51 peratus), terlajak tidur (31 peratus), faktor cuaca (28 peratus) dan terlalu penat untuk bangkit dari katil (23 peratus).
Tinjauan adalah dapatan keatas lebih 1,000 pengurus sumber manusia, dan 800 pekerja sektor swasta.
Kesemua alasan yang diberikan seakan sama di serata dunia. Namun terdapat beberapa alasan lain yang disenaraikan dan memeranjatkan, sebagai contoh seorang pekerja lelaki berkata ”saya ada ‘morning sickness’ atau ‘mabuk hamil’!
Satu lagi alasan pelik, “seorang ahli kaji bintang memberi amaran saya akan terbabit dalam kemalangan, maka saya memandu mengikut laluan yang jarang diikuti, menyebabkan saya lewat sejam”.
Alasan paling ‘menang’ datangnya dari seorang wanita yang mendakwa bulu mata palsunya bergumpal. Yang pasti Amerika Syarikat tidak pernah lekang dari inovasi, termasuk dalam memberikan alasan kenapa lewat.
Ia mungkin bernada ‘kelakar’ namun bukan di pihak majikan yang mengharapkan pekerja yang digaji datang bertugas menepati masa setiap hari.
Maka kajian juga mendapati 42 peratus majikan memecat pekerja mereka atas alasan sering lewat.
Ini bukannya masalah kecil di pejabat sekitar Amerika Syarikat.
25 peratus berkata mereka lewat ‘sekurang-kurangnya sekali sebulan’ manakala 12 peratus lagi akan lewat ‘sekali dalam tempoh seminggu!
Masih ‘ada sinar di hujung terowong’, berita baiknya, 65 peratus mereka yang lewat akan bekerja lebih masa untuk menampung ‘kelewatan’ mereka.
Majoriti juga berpendapat istilah kerja 9-5 perlu diubah, manakala 88 peratus berkata tempoh masa bekerja seharusnya menjadi lebih fleksibel.
Bila kali terakhir anda lewat? Apa pula alasan anda, kongsi pandangfan bersama kami.
Sumber: Awani