Kenyataan Wan Azizah Pembahagian Kerusi Selesai Kelirukan Sekutu PH


Kenyataan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa pembahagian kerusi antara parti pembangkang telah selesai hari ini disanggah oleh pemimpin parti itu sendiri.


Mereka menafikan kenyataan Dr Wan Azizah itu dan menegurkan supaya tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan perbincangan agihan kerusi DUN seperti  di Selangor masih belum selesai dan diperingkat rundingan.


Kenyataan Dr Wan Azizah bitu boleh menimbulkan kekeliruan rakan sekutu PH, kata sumber dalaman Pakatan seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian hari ini.


Kelmarin, Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)berkata, PH sudah menyelesaikan rundingan berhubung agihan kerusi DUN dan Parlimen semua negeri, kecuali Sabah.


Dr Wan Azizah bagaimanapun menyatakan tarikh untuk mengumumkan keputusan rundingan pengagihan kerusi itu belum ditentukan.


"Kita belum buat keputusan muktamad kerana mungkin ada perubahan pada saat akhir,"  Dr.Wan Azizah dipetik sebagai. 

Sumber di Selangor memberitahu,  perbincangan agihan kerusi ketika ini hanya membabitkan 25 daripada 56 kerusi DUN yang disandang Barisan Nasional (BN) dan PAS.


Berdasarkan keputusan awal rundingan, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (10), dan Parti Amanah Negara (PAN) (sembilan), namun ia dibantah PPBM dan PAN.


Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin, berkata parti itu kekal dengan pendirian untuk bertanding kerusi yang disandang BN.


PAN pula bertegas mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS.


Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dua kali memberi 'amaran' agar pembahagian kerusi itu diselesaikan segera.


Namun, selepas tempoh yang diberikan oleh Dr. Mahathir berakhir, masih ada lagi pertikaian tentang agihan kerusi antara DAP, PKR, PAN dan PPBM.


Hingga hari ini Kedah, Pulau Pinang dan beberapa negeri lain belum berani mengumumkan  pembahagian kerusi secara rasmi walaupun Dr. Wan Azizah dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan agihannya telah 'selesai' atau mencapai kata sepakat. 


Kenyataan bahawa pembahagian kerusi telah 'selesai' hanya sekadar meredakan penyokong parti gabungan itu bahawa Pakatan Harapan tidak bermasalah dalam mengagih kerusi DUN dan Parlimen.


Jika pembahagian kerusi belum pun mampu diselesaikan, ia bakal mengheret PH kepada masalah  untuk meletakkan calon parti masing-masing selepas Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU diadakan -  Kedahnews.com.