PUTRAJAYA - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 menunjukkan peningkatan dengan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional meningkat kepada 2.76 berbanding 2.71 pada 2016.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan PNGK nasional yang memberangsangkan dalam kesemua kriteria pengukuran pencapaian dibandingkan dengan STPM 2016.
Beliau berkata, peningkatan itu mengatasi semua pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada 2013.
Katanya, peningkatan itu membabitkan PNGK Nasional, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.75 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK 2.00 ke atas, peningkatan peratus lulus penuh pada lima dan empat mata pelajaran dan peratus lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan gred C ke atas.
"Bilangan calon yang memperoleh PNGK 3.50 ke atas bertambah kepada 6,408 calon iaitu 14.89 peratus berbanding 6,137 calon (14.20 peratus) pada 2016.
"Peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat kepada 40.48 peratus (17,423 calon) pada 2017 berbanding 37.62 peratus (16,263 calon) pada 2016.
"Bagaimanapun, peratusan calon mendapat PNGK 4.00 sedikit menurun iaitu kepada 1.13 peratus atau 485 calon berbanding 1.31 peratus (565 calon) pada 2016.
"Namun saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2017 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar kerana peningkatan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas adalah tinggi iaitu 55.19 peratus berbanding 51.83 peratus pada 2016," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2017 di sini hari ini.
Sumber: BH Online