'Kerajaan Mahathir' Atau Kerajaan Pakatan Harapan?



Ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih disiasat oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (Ros) berikutan ratusan aduan oleh ahlinya, tiba-tiba PPBM seperti 'mendesak' rakan sekutunya DAP, PKR dan PAN agar parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu diberi peranan sebagai 'tulang belakang' jika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas PRU14 ini.   

Aneh juga permintaan PPBM itu kerana parti itu belum tentu menang walaupun bertanding paling banyak kerusi di Semenanjung.

Kini baharulah rakyat buka mata, antara sebab Dr. Mahathir mahu menjadi calon Perdana Menteri, ialah mahu PPBM yang baru setahun lebih ditubuhkan 'menguasai kerajaan' walaupun DAP dan PKR lebih awal berusaha ke arah itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya  kecewa kerana 'pokok yang ditanamnya, tetapi buahnya diambil oleh Mahathir dan PPBM.'

Bagi Presiden Pakatan Harapan dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mungkin belum 'berani bersuara' menetang cadangan PPBM itu kerana sifat semula jadi wanita yang 'mudah beralah' apatah lagi berdepan mantan Perdana Menteri yang membawa suaminya menyertai UMNO pada 1982.

Walaupun beliau masih terasa dengan perbuatan Dr. Mahathir terhadap Anwar seperti mana yang dikatannya baru-baru ini, Dr Wan Azizah mungkin juga terhutang budi kepada 'bakal Perdana Menteri sementara' itu. 

Khabarnya, PKR juga tidak setuju menggunakan logo 'bunga' milik PPBM sebagai simbol tunggal bagi calon parti PKR pada PRU ini walaupun Mahathir menyatakan semua parti telah mencapai kata sepakat untuk menggunakan satu logo sahaja.

DAP juga dari awal lagi (sebelum ini) tidak bersetuju menggunakan simbol lain selain daripada 'roket' untuk calon-calon DAP.

Bagi penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Mohd Yusoff, beliau ' terkejut' apabila mendengar ucapan Timbalan Pengarah Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan, yang baru sahaja menyertai PPBM 1 Mac lalu yang menggesa sekutu pembangkang membenarkan  PPBM  mengetuai PH seperti mana UMNO mengetuai BN.

"Terkejut  juga saya bila membaca laporan  di dalam forum "Trends in the Malay electorate: The Urban Malay" pada 6 Mac, yang mahu meyakinkan pengundi Melayu yang   bimbang kepada dominasi DAP di dalam PH untuk mengundi PH." kata Kamarul Zaman yang dipetik daripada HarakahDaily hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, gesaan sebegitu sebenarnya pernah dibuat oleh Dr. Mahathir selaku Pengerusi PPBM dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu.

Gesaan Dr Mahathir itu bagaimanapun mendapat reaksi keras daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Kamarul Zaman mendedahkan, sebagaimana yang  dilaporkan pada 22 Mac 2017, mereka (DAP) menyatakan bahawa “setiap gabungan perlu mempunyai konsensus dan perkara itu tidak diamalkan oleh Barisan Nasional kini. 

Oleh itu tidak timbul DAP akan mengikut acuan BN dalam budaya politik PH memang sudah bentuk budaya itu (buat keputusan dengan perbincangan), katanya.

Sementara gesaan Muhyiddin  turut mendapat reaksi keras daripada Anthony Loke, yang dilapor pada 22 Mac 2017 sebagai menyatakan bahawa “seperti kita sedia maklum, semua parti di bawah PH mempunyai hak yang sama rata, maka tiada isu parti mana yang akan mendominasi gabungan parti itu”.

Kata pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia itu lagi , Anthony Loke,juga telah dilaporkan sebagai berkata pada 6 April 2017,"  tanpa sebarang provokasi, bahawa PPBM tidak mungkin akan menjadi ketua dalam PH, PH tidak akan membenarkan PPBM menjadi UMNO 2.0."

"PH hanya akan memberikan “antara 50 hingga 60 kerusi Parlimen sahaja” kepada PPBM dan PPBM tidak dibenarkan membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada parti-parti lain di dalam PH," kata beliau yang mengimbaskenyataanpemimpin DAP itu.

Malah, bila timbul cadangan supaya jawatan Pengerusi dan Presiden PH diisi oleh Dr Mahathir dan  Muhyiddin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata   pada 14 Jun 2017 bahawa beliau tidak akan bersetuju jawatan Pengerusi dan Presiden PH diisi oleh PPBM” kerana “ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan (terhadap PH)”.

Menurut Kamarul Zaman lagi, jika kenyataan Dr Mahathir dan Muhyiddin sendiri pun telah disangkal keras oleh pemimpin DAP mahupun pemimpin PAN, apakah Wan Saiful merasakan bahawa suara beliau lebih kuat daripada suara Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin? 

"Bermimpi di siang harilah sesiapa yang menyangka DAP akan bersetuju dengan cadangan supaya PH diketuai oleh sebuah parti politik yang berteraskan Melayu, " kata Kamarul Zaman.

Sementara PAN yang menjadi penyokong kuat DAP menerusi kenyataan Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir, pada 26 Mac 2017 yang menyebut  “tak pernah timbul langsung bahawa ada satu kaum yang harus menjadi teras di dalam PH” dan PH “sudah tidak menjadikan bangsa atau kaum sebagai teras gabungan politik”.

Manakala Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad pada tarikh sama pula membuat kenyataan bahawa “setiap parti komponen dalam PH adalah rakan kongsi yang mempunyai peranan yang sama rata” dan “PH mahu PH menjadi gabungan atau pakatan beberapa parti yang semua sama kuat dan sama penting”.

"Apa pun, tahniah kepada Wan Saiful kerana sekurang-kurangnya nampak macam 'jantan' juga, " kata Kamarul Zaman.- Kedahnews.com