Kerajaan Tanggung Bil Lampu Jalan Felda, Felcra, Ketengah


KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan membayar bil lampu jalan Felda, Felcra dan Ketengah yang dianggarkan berjumlah RM7,076,099.04.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu adalah insentif baharu yang diluluskan oleh kabinet demi warga peneroka.

“‘Sebelum ini, kerajaan hanya membayar bil lampu jalan kampung (LJK) bagi kampung-kampung tradisional dan Kampung Orang Asli sebanyak RM80 juta setahun.

”Dulu untuk Felda, bil dibayar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), manakala Felcra dan Ketengah dibayar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri seterusnya menjelaskan, sebelum ini kadang-kala bekalan eletrik LJK terpaksa dipotong kerana bil tidak mampu dijelaskan oleh pihak terlibat.

Justeru, dengan insentif baharu kerajaan itu masalah bebanan bayaran bil akan dapat diselesaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Februari lalu turut mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta untuk pemasangan LJK di seluruh negara dalam tahun ini.

Daripada jumlah tersebut RM50 juta adalah peruntukan kerajaan, manakala RM50 juta lagi disumbangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).  – Kedahnews.com